MPPP bukan sengaja batalkan lesen

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini menafikan bahawa tindakan membatalkan lesen operasi kedai barangan am milik Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Pulau Pinang (sebuah pertubuhan bukan kerajaan) di lot bernombor BA- 6, Pasar Teluk Bahang adalah didalangi Ketua Menteri sebagaimana dituduh di sini baru-baru ini.

Ahli Majlis MPPP, Ong Ah Teong pada satu sidang akhbar berkata, pihak majlis sebulat suara membatalkan lesen tapak gerai tersebut ekoran kesalahan menyerahkan gerai kepada orang lain dengan sukarela tanpa memaklumkan kepada pihak majlis serta tidak menjalankan perniagaan.

“Gerai tersebut didakwa miliknya, Mohd. Rizuad Mohd. Azudin.

“Tetapi, apabila MPPP membuat semakan daripada keseluruhan kira-kira tiga ribu pemegang lesen, tiada pun nama Mohd. Rizuad mahupun nama isterinya. Sebaliknya, gerai tersebut didaftarkan di atas nama Rohaidah Shariff, 54, yang mana siasatan menunjukkan bahawa individu terbabit merupakan ibu beliau (Mohd. Rizuad),’’ tegasnya di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Majlis MPPP, Lim Siew Khim, Mohd. Rashid Hasnon, L. Prem Anand, Tahir Jalaluddin dan D. Harvindar Singh.

Menurut Ah Teong, Pegawai Kesihatan Awam MPPP sentiasa menjalankan kerja menyiasat yang mana kesalahan melibatkan gerai yang disewakan kepada orang lain, tidak membayar sewa, tidak jalankan perniagaan dan menyerahkan gerai dengan  sukarela kepada orang lain tanpa memaklumkan kepada majlis akan diambil tindakan.

“Jadi, di sini tiada isu rasis yang ditimbulkan dan kita (MPPP) menolak tanggapan beliau bahawa dengan sengaja membatalkan lesennya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ah Teong menyatakan bahawa, gerai yang disewakan oleh MPPP bukan milik sesiapa atau keluarga penyewa, tetapi ianya adalah harta milik MPPP.

“Melalui surat pertama bertarikh 6 Julai 2012 yang diterima MPPP daripada Rohaidah menyatakan bahawa beliau sedang sarat mengandung.

“Manakala, surat kedua (29 Ogos 2012), menyatakan bahawa menantu perempuannya sedang sarat mengandung dan memohon agar pihak majlis menukarkan penama lesen. Yang mana satu yang betul?’’ soal Ah Teong.

Beliau menegaskan bahawa, segala maklumat yang diberikan adalah tidak betul dan meragukan.

“Justeru, diharap beliau berikan maklumat yang lebih benar dan jangan sesekali membuat tanggapan palsu,” katanya.