MPPP perluas kempen kitar semula F&N ke prasekolah

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berharap lebih 45 prasekolah akan menyertai kempen kitar semula anjuran F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd. (F&N) dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) pada tahun ini.

Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail berkata, kempen saingan selama tiga bulan bermula 16 Mei lalu hingga 15 Ogos ini diperluaskan ke peringkat prasekolah kerana pertandingan tahunan tersebut didapati menerima sambutan menggalakkan sejak diperkenalkan tiga tahun lepas.

“Dengan kempen yang diperluaskan ke peringkat prasekolah, saya berharap lebih ramai pelajar menyertai program kitar semula pada kali ini,” ucapnya pada pelancaran majlis tersebut sambil melahirkan rasa bangga dengan kerjasama yang erat antara MPPP dan F&N serta JPN.

Pengurus Korporat F&N, Cariessa Goh dan Azizan Ismail (wakil Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang) turut berucap pada majlis disertai lebih hampir 200 perwakilan, terdiri daripada guru-guru dan murid-murid sekolah.

Difahamkan, syarikat Tetra Pak (M) Sdn. Bhd. selaku pembekal F&N pada pertandingan tahun ini diumumkan menaja wang tunai sebanyak RM600 untuk kategori sekolah rendah dan menengah, serta RM300 untuk juara kategori prasekolah.

Untuk kategori sekolah menengah dan sekolah rendah, masing-masing ditawarkan wang tunai RM1,300 untuk tempat pertama, diikuti RM1,100 (kedua), RM900 (ketiga), RM800 (keempat) dan RM700 (kelima).

Manakala, tempat keenam hingga ke-10, masing-masing menerima wang tunai antara RM600 hingga RM200.

Untuk kategori prasekolah pula, RM300 wang tunai ditawarkan untuk pemenang utama, diikuti, RM200 (kedua), RM100 (ketiga), serta hadiah saguhati RM50 untuk keempat hingga ke-10.

Sebelum itu, hadirin turut didedah mengenai kepentingan amalan 4R, iaitu Reduce (mengurangkan), Reuse (mengguna semula), Recycle (mengitar semula) dan Rethink (fikir semula) dalam kehidupan seharian, selain, kaedah sebenar membantu proses kitar semula kotak minuman daripada wakil penganjur.