Ulangtahun pertama Dataran Penodato meriah

Admin

 

GEORGE TOWN – “Para peserta yang mengambil bahagian untuk mengutarakan pendapat dan berpidato di Dataran Pemidato, Padang Kota Lama boleh mengkritik dasar-dasar Kerajaan Negeri atau wakil-wakil rakyat,” ujar Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

“Mereka adalah dialu-alukan untuk meluahkan perasaan mereka termasuk menyuarakan pandangan, komen atau apa sahaja berkaitan Kerajaan Negeri atau apa-apa sahaja isu semasa yang ingin dibangkitkan.”

Malah, beliau menambah bahawa semua orang perlu diberi hak untuk menyatakan secara bebas pendapat dan pandangan masing-masing.

“Anda boleh mengkritik sesiapa sahaja dalam pentadbiran Kerajaan Negeri, termasuk diri saya sendiri atau Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Chow (Kon Yeow),” ujar beliau.

“Tetapi kita tidak boleh bersetuju dengan apa yang anda semua katakan, kita akan mempertahankan hak anda untuk tidak bersetuju dengan kita. Ini adalah demokrasi, “kata beliau lagi.

Guan Eng hadir ke Dataran Pemidato untuk sama-sama menyambut ulangtahun pertama Dataran Pemidato serta untuk meraikan sambutan Hari Ibu. Beliau turut menyatakan harapan agar negeri-negeri lain mencontohi Pulau Pinang dengan menyediakan satu platform untuk rakyat meluahkan perasaan secara bebas tanpa rasa takut.

“Kami telah membuktikan bahawa orang yang mampu meluahkan mindanya adalah orang yang matang. Tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang setahun yang lalu,”katanya.

Selain itu, Guan Eng turut menyatakan bahawa dataran tersebut bukan sahaja membolehkan peserta datang dengan kebebasan bersuara, tetapi kebebasan selepas bersuara.

“Mereka boleh bercakap tanpa rasa takut, seperti polis tidak akan datang ekoran tindakan mereka,” tambah beliau.

Kemuncak pada hari tersebut ialah upacara lima cabutan bertuah. Pada masa sama, orang ramai juga dijemput untuk majlis memotong kek sempena meraikan Hari Ibu dan ulangtahun Dataran Pemidato tersebut.

Turut hadir adalah pengasas konsep merangkap ahli jawatankuasa sambutan ulangtahun Dataran Pemidato, Andre Loh dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow dan Ahli Dewan Undangan Negeri KOMTAR, Ng Wei Aik yang turut sama-sama menyanyi beberapa buah lagu antaranya ‘Imagine’ dan ‘Anak.’