MPPP tambah pokok teduh di Datuk Keramat

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

DATUK KERAMAT – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) siap menanam 80 lagi pokok teduhan di sepanjang 400 meter Jalan Datuk Keramat sebagai kelangsungan fasa dua Projek Menghijaukan Bandar di sini baru-baru ini.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, sebanyak 180 pokok teduhan pelbagai jenis telahpun ditanam di sini sebelum ini, di bawah fasa satu projek yang sama.

“Kami (Kerajaan Negeri) bercita-cita mengubah George Town menjadi sebuah bandar yang hijau suatu hari nanti,” ujarnya di sini baru-baru ini sambil memberitahu bahawa kos projek terbaru itu adalah berjumlah RM225,120.

Pengarah Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa MPPP, Mohamed Akbar Mustapha turut serta dalam sidang media itu.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata, MPPP akan menanam 5,000 lagi pokok renek di George Town demi mengindahkan pusat bandar Pulau Pinang tersebut.

Sebelum itu, Mohamed Akbar memberitahu, Simpoh Gajah, Mendulang Daun bujur , Nyatoh adalah empat jenis pokok teduhan yang ditanam di bawah fasa dua projek tersebut sejak awal November lepas.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow dan Mohamed Akbar masing-masing menanam anak pokok teduhan di pembahagi Jalan Datuk Keramat sebagai gimik menyempurna fasa dua projek
berkenaan.