MPSP, Bandar Gwangju jalin persahabatan global

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT MERTAJAM – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mencipta sejarahnya tersendiri apabila tersenarai dalam 109 pihak berkuasa tempatan (PBT) dari 47 negara yang menyertai World Human Rights Cities Forum 2013 di Gwangju, Korea baru- baru ini.

Yang Dipertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata, beliau diberi mandat untuk membentangkan kertas kerja berjudul MPSP’s Initiative On Human Rights City serta menjadi panel pembahas pada pembentangan bertajuk, Human Rights And Civil Servants yang dihadiri kira-kira 730 perwakilan sedunia.

Tidak cukup dengan itu, Maimunah berkata, beliau turut mewakili MPSP untuk berucap pada Pembukaan Majlis Makan Malam di Kimdaejung Convention Center, Korea.

“Pada kesempatan itu, MPSP dan Bandar Metropolitan Gwangju telah menandatangani Memorandum Perjanjian Persahabatan pada 17 Mei lalu iaitu antara saya dan Datuk Bandar Gwangju, Yang Berbahagia Tuan Kang Un-tae.

“Ini adalah kali pertama bagi MPSP,” ujarnya dalam Mesyuarat Majlis Penuh di Kompleks Ibu Pejabat MPSP, Bandar Perda, Bukit Mertajam baru-baru ini.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud, Francis Ong Koon Liak (Ahli Majlis MPSP), Teoh Seang Hooi (Ahli Majlis MPSP) turut hadir pada sidang media itu.

Perjanjian itu, menurut beliau, untuk mengerat persahabatan melalui perkongsian idea dan maklumat mengenai budaya pentadbiran, seni, pendidikan dan ekonomi.