Perkhidmatan kebersihan keutamaan penduduk Seberang

Admin

Oleh: MOHD HAFIZ TAJUDIN

BUKIT MERTAJAM – Sempena Sambutan Hari Majlis ke-39, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah mengadakan satu sesi dialog dan kajian pelanggan sempena bajet 2014 MPSP sebagai satu usaha mengumpulkan maklumbalas daripada para pelanggannya.

Kajian berkenaan bertujuan menilai tahap keutamaan tujuh perkhidmatan yang disediakan MPSP untuk diimplementasikan dalam bajet tahun hadapan.

Hasilnya, 41 peratus responden memilih perkhidmatan kebersihan sebagai keutamaan paling tinggi, berbanding perkhidmatan keselamatan dan lalulintas (15), penguatkuasaan undang-undang (12), kawalan banjir (10), kemudahan awam (9), pengindahan dan kehijauan (8) dan penglibatan komuniti (5).

Yang Dipertua MPSP, Maimunah Mohd Sharif berkata, maklumbalas berkenaan menunjukkan bahawa masyarakat melihat Seberang Perai mahu menjadi lebih bersih.

“Sistem demokrasi memberi pandangan yang diamalkan MPSP adalah untuk mengajak seluruh penduduk Seberang Perai bersama MPSP menjadikan Pulau Pinang termasuk Seberang Perai sebagai sebuah bandar yang selesa didiami.

“Ini jelas sekali mereka mahu Seberang Perai menjadi lebih bersih,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Korporat kakitangan MPSP di Kompleks MPSP di sini. Turut hadir adalah Setiausaha Perbandaran, Rozali Mohamud serta barisan Ahli Majlis MPSP.