SMK Sri Muda, SK Kebun Sireh juara Pertandingan Sek. Hijau 2014

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

Gambar : NAZLEEN NAJEEB

 

PERAI – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muda dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kebun Sireh diumum sebagai juara Pertandingan Sekolah Hijau Pulau Pinang 2014 Peringkat Seberang Perai, dengan masing-masing membawa pulang tunai RM2,000, sijil penyertaan serta piala.

Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, pemberian insentif berjumlah RM31,800 kepada 106 sekolah yang menyertai pertandingan tahunan itu diharap dapat memangkin usaha Kerajaan Negeri menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang bersih.

“Peruntukan yang diberi menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri bagi menjadikan Pulau Pinang lebih Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat sebagai realiti,” ujarnya pada Majlis Anugerah Pertandingan Sekolah Hijau 2014 Peringkat Seberang Perai di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif dan Ketua Pegawai Eksekutif Continental Automotive Components Malaysia Sdn. Bhd. (Continental) sebagai penaja utama, Yen Siew San turut hadir pada majlis tersebut.

Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu berkata, pihaknya berharap lebih banyak lagi sekolah akan menyertai pertandingan tersebut pada tahun depan.

Dalam pada itu, Maimunah dalam ucapannya berkata, MPSP amat komited untuk menerapkan program sisa sifar dan amalan 4R (Rethink, Reduce, Reuse & Recycle) dalam kalangan generasi muda Seberang Perai.

“Saya amat berbangga kerana usaha yang dijalankan ini adalah tidak sia-sia dengan lebih banyak sekolah telah menyertai pertandingan dan berharap akan ada peningkatan di tahun hadapan.

“Walaupun hanya bermula dengan penyertaan 30 buah sekolah sahaja pada tahun 2010, tetapi kini ia telah berkembang menjadi 106 sekolah,” ujar Maimunah.

Dalam perkembangan sama, Continental turut menyediakan hadiah berupa RM21,600 tunai kepada 38 sekolah yang memenangi pertandingan tersebut baru-baru ini