NGO urus rumah perlindungan wajar terima lebih dana Putrajaya – TKM1

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ALISSALA THIAN

KEBUN BUNGA – Badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan rumah perlindungan kanak-kanak, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan serta warga emas yang kurang bernasib baik di negara ini sewajarnya mendapat dana sokongan lebih secara langsung daripada Putrajaya, sebagaimana di negara-negara maju.

Demikian kata Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon semasa menyampaikan sumbangan kepada golongan terpilih di rumah pelindungan House of Hope dekat Jalan Masjid Negeri di sini, anjuran bersama Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (REHDA) Pulau Pinang.

“Semua kita mengetahui kira-kira 81 permohonan DLAP (Lesen Pemajuan & Permit Iklan) projek pemajuan negeri ini masih dilengah-lengahkan oleh Kementerian (Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) hingga menyusahkan para pemaju di Pulau Pinang.

“Tetapi, saya memuji inisiatif pemajupemaju diketuai Datuk Jerry Chan sebagai Pengerusi REHDA Pulau Pinang kerana boleh menganjurkan program CSR (tanggungjawab sosial korporat) bersamasama pertubuhan House of Hope, walaupun dihambat pelbagai cabaran-cabaran ini.

“Saya harap Putrajaya sendiri boleh mengambil sikap terbuka dengan komitmen REHDA dan pemaju ke negeri ini, serta pertimbang cadangan menyalurkan dana sokongan kepada pertubuhan kebajikan seumpama House of Hope, seperti di negara-negara maju,” katanya yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat pada penganjuran program CSR REHDA Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak turut menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan berupa barang makanan asasi kepada golongan terpilih berkenaan.

Sebelum itu, Jerry dalam ucapannya memberitahu bahawa REHDA senantiasa komited dalam pembangunan masyarakat khususnya golongan terpilih, sungguhpun urusan utama mereka adalah dalam urusan pemajuan perumahan dan hartanah.

“Kita (REHDA) ke sini (House of Hope), kerana kita adalah bersaudara.

“Ini sebahagian komitmen yang tidak pernah dilupakan oleh kami (REHDA), iaitu menyalurkan sumbangan kepada golongan terpilih seperti ini,” kata beliau sambil merakamkan penghargaan kepada wakil House of Hope.

Difahamkan, selain menyediakan jamuan untuk semua golongan terpilih terbabit, REHDA turut membawa kira-kira 40 kanakkanak dari House of Hope keluar berjalanjalan ke Bukit Bendera.

Pengarah House of Hope, Khoo Cheng See dan David Fong (pengurus penganjur) turut menyertai majlis amal bertemakan “Joy and Caring with Love” itu.