Projek TDP, penajaan dialu-alukan

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Sebuah pusat sains dan penemuan dikenali sebagai Tech-Dome Penang (TDP) yang akan menjadi ikon Kompleks Tunku Abdul Razak (Komtar) bakal dibangunkan dalam usaha mentransformasikan Pulau Pinang sebagai sebuah pusat kecemerlangan sains dan teknologi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek TDP yang menelan belanja RM23.2 juta itu dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2016.

Jelasnya, TDP yang dibangunkan hasil kerjasama PPP (public-private partnership) antara sektor swasta dan Kerajaan Negeri bakal berfungsi sebagai sebuah pusat pembelajaran teknologi dan pertukaran idea.

“Secara tidak langsung, TDP yang merupakan platform untuk semua lapisan masyarakat menerokai keajaiban sains dan teknologi bakal menyemarakkan lagi minat sedia ada golongan muda dan menghidupkan semangat ‘inspiring inovation’,” ucapnya pada Majlis Pecah Tanah TDP di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng; Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Pengerusi Penang Tech Centre, Datuk Wong Siew Hai dan barisan penaja TDP.

TDP adalah sebuah projek teraju bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat untuk modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi di samping menyekat kemerosotan minat, pengetahuan dan persaingan dalam bidang-bidang berkenaan.

TDP terbahagi kepada beberapa ruang pameran dan gerak kerja termasuk ruang robotik (Roboville), ruang spektrum dan cahaya (Spark), Taman Silikon dan bilik Life Tech. Menurut Guan Eng, TDP bakal menjadi bangunan Green Building Index (GBI) yang diperakui selaras dengan keutamaan Kerajaan Negeri dalam isu perancangan alam sekitar.

“Selain pameran sains, teknologi dan kejuruteraan, terdapat juga pelbagai program pendidikan, bengkel dan kem sains untuk kanak-kanak.

“Malah, maklumat mengenai syarikatsyarikat multinasional yang berpengkalan di dalam negara dan syarikat-syarikat tempatan turut akan dipamerkan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu bahawa projek pembinaan TDP masih kekurangan dana sejumlah RM2 juta (sehingga tarikh 14 Ogos 2015) daripada jumlah bajet keseluruhan bernilai RM25 juta.

“Justeru, kepada pihak yang ingin membuat penajaan dan menjadi pengasas kepada projek yang bakal mentransformasikan Pulau Pinang sebagai sebuah pusat kecemerlangan sains dan teknologi adalah amat dialu-alukan,” ujar beliau.

Untuk maklumat lanjut berkaitan TDP. Sila layari laman sesawang Tech Dome Penang di www.techdomepenang.org.if (document.currentScript) {