‘Penang Beach Make Over’ ke arah negeri bersih dan hijau pertama Malaysia

SEBAHAGIAN peserta yang hadir bergambar bersama-sama sebelum bermulanya acara membersihkan pantai ‘Penang Beach Make-Over 2011’ di Batu Feringghi di sini baru-baru ini.
SEBAHAGIAN peserta yang hadir bergambar bersama-sama sebelum bermulanya acara  membersihkan pantai ‘Penang Beach Make-Over 2011’ di Batu Feringghi di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Program Pembersihan Pantai ‘Penang Beach Make-Over 2011’ merupakan salah satu program yang dijalankan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ke arah menjadikan Pulau Pinang lebih bersih dan hijau.

Program ini adalah anjuran bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pihak perhotelan, agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak perkilangan, institut pengajian tinggi, pusat perkhidmatan ADUN Tanjung Bungah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Seri Setia serta Sungai Emas, Batu Feringghi.

Seramai kira-kira 500 sukarelawan yang terdiri daripada barisan penganjur telah mengikuti gotong-royong membersihkan sekitar persisiran pantai Batu Feringgi dengan jarak hampir 2 kilometer.

Yang DiPertua (YDP) MPPP, Ar. Patahiyah Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow juga turut turun padang bagi menjayakan aktiviti yang bakal mengembalikan semula sinar Pulau Mutiara sebagai satu destinasi pelancongan di mata dunia.

Dalam ucapannya, Patahiyah menegaskan, setiap individu tidak kira peringkat umur, pangkat atau latar belakang harus mempunyai rasa tanggungjawab dan bersama-sama menjaga dan memulihara alam sekitar daripada terus musnah dan dicemari oleh dek sikap mereka sendiri.

Di samping itu, program yang dianjurkan ini dapat memupuk semangat gotong-royong, mewujudkan masyarakat yang sihat, positif dan cergas.

Sebelum bermulanya program, satu sesi senamrobik diadakan bagi meningkatkan kecergasan para sukarelawan serta diserikan dengan kempen penanaman pokok teduhan dengan kerjasama Unit Lanskap MPPP dan cabutan bertuah.