P.Pinang abai syor Putrajaya naik cukai pintu

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA– Syor Putrajaya menaikkan kadar cukai pintu bermula pada tahun ini sekali lagi diabaikan kerana pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng tidak mahu menambah beban kos kenaikan sara hidup rakyat.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh bagaimanapun berkata, rakyat mesti bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam mengurus sumber pendapatan sedia ada jika mahu Kerajaan Negeri menangguhkan kenaikan cukai pintu dalam lima tahun ini.

Ini kerana, katanya, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sendiri berjaya menjimatkan RM4,198, 556 sahaja daripada kos bayaran pelupusan sisa sampah bagi tahun lepas, sedangkan baki defisit yang ditanggung kira-kira RM27 juta.

Difahamkan, MPSP era Barisan Nasional (BN) dulu didakwa mengamalkan pembaziran, penyelewengan serta menangung hutang tertunggak selama tujuh tahun berturut-turut berjumlah RM230 juta, sebelum dihidupkan semula oleh Kerajaan Negeri hari ini bermula pada tahun 2008.

“MPSP (dianggarkan) boleh memperoleh RM27 juta jika menaikkan cukai pintu sebanyak 15 peratus ini, tetapi, kita tangguhkan dulu.

“Kutipan cukai pintu adalah salah satu cara untuk menjana pendapatan MPSP, tetapi, ditangguh kenaikan cukai pintu ini kerana kita berjaya menjimatkan lebih RM4.1 juta yang sepatutnya MPSP bayar (kepada pihak pengurusan) di Pusat Pelupusan Sampah Pulau Burung.

“Rakyat mesti sepenuhnya bekerjasama dengan MPSP dan MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) bagi menjayakan program kitar semula dan mengurangkan penjanaan sisa pekerjaan jika mahu mengelak kenaikan cukai pintu ini,” ujarnya pada satu sidang media
selepas merasmikan pelancaran Anugerah Komuniti Mampan 2014 di sini baru-baru ini.

Boon Poh mewakili MPSP turut menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM11,500 daripada Pemangku Pengarah Bahagian Sumber Manusia bagi Syarikat Flextronics Technology (Penang) Sdn. Bhd., Hasifah Wati Harun bagi menjayakan program Anugerah Komuniti Mampan 2014.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif, Rozali Mohamod (Setiausaha Perbandaran MPSP), Tan Cheong Eng (Ahli Majlis MPSP) turut hadir pada sidang media di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda, Seberang Jaya.

Dalam pada itu, Maimunah berkata, MPSP boleh menjimatkan lebih banyak sumber pendapatan sedia ada jika sasaran mengurangkan kekerapan kutipan sampah di sekitar Seberang Perai daripada tiga kali seminggu pada sekali seminggu berjaya dalam tahun ini.

“Anggap sampah sebagai sumber melalui program kitar semula.

“Pendekatan bersepadu dalam menguruskan sumber di mana semua pihak perlu bersama-sama terlibat untuk menjayakan konsep ini, (iaitu) mengurangkan pelaksanaan sisa pepejal dan kekerapan kutipan sampah,” ujar Maimunah.