Surau baru untuk pengunjung Padang Kota Lama

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) memperuntukkan sejumlah RM175,200.00 bagi membina sebuah surau di Padang Kota Lama, baru-baru ini di sini.

Surau berkeluasan 150 meter persegi tersebut dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ruang solat lelaki dan wanita yang mampu menampung kapasiti sejumlah 35 orang pada satu-satu masa.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim ketika lawatannya berkata, lokasi surau tersebut dipilih kerana berhampiran dengan tempat riadah.

“Lokasinya yang berhampiran dengan Dewan Sri Pinang, Padang Kota Lama dan Medan Selera Renong akan memudahkan orang ramai beribadat sambil beriadah.

“Pengunjung akan mempunyai ruang yang selesa untuk sembahyang. Namun, saya memohon jasa baik MPPP supaya menambahkan kelengkapan sedia ada seperti sejadah telekung dan sebagainya agar ia lebih sempurna,” ujar di sini baru-baru ini.

Surau tersebut turut dilengkapkan masing-masing dengan tempat wudhuk bagi lelaki dan wanita serta tandas lelaki, wanita dan untuk orang kurang upaya (OKU).