P. Pinang ke arah bandar sukan

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

TELUK BAHANG – Kerajaan Negeri mensasarkan supaya pembangunan sukan negara dapat  dipacukan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang dengan persatuan-persatuan sukan tidak lagi bergantung kepada bantuan kewangan pihak kerajaan semata-mata.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengulas lanjut dengan menyatakan bahawa sukan bukan hanya dikaitkan dengan atlit dan pencapaian mereka, sebaliknya ia mampu dibangunkan sebagai satu industri yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara.

“Dengan pembangunan sukan, ia  memberi manfaat kepada masyarakat dari segi kesihatan, penyediaan peluang kerjaya dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri) berhasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar sukan kelak kerana Pulau Pinang sudahpun terkenal sebagai lokasi tarikan pelabur, pelancong dan habitat semulajadi.

“Tetapi untuk jadi sebuah bandar sukan, kita perlu mengadakan anjuran acara-acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Kejohanan Skuasy Wanita Dunia dan sukan triatlon seperti ini,” ujarnya sejurus selepas pelepasan para peserta penganjuran Triatlon dan Duatlon Antarabangsa Pulau Pinang (PgiTD) 2014 di sini baru-baru ini.

Kira-kira 1,500 peserta dari  dalam dan luar negara menyertai acara sukan yang dianjurkan buat kali kedua berturut-turut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa  Penganjur PgiTD 2014, Dr. Lim Se’h Guan, penganjuran tersebut adalah inisiatif Kelab Berbasikal G Pulau Pinang bagi mengembalikan semula sukan berprestij berkenaan serta menjadikan ia sebagai sebahagian produk pelancongan negeri Pulau Pinang.

“Sukan ini pernah popular 15 tahun lalu, tetapi rentetan ancaman obor-obor, ia menjadi suram dan kini kami perkenalkan semula dengan memberi jaminan keselamatan kepada para peserta,” katanya yang mensasarkan penyertaan sehingga 3,000 peserta tahun hadapan.

Bertemakan ‘Let’s Tri & Du It’, penganjuran sukan berkenaan turut mendapat kerjasama syarikat pengeluar basikal terkemuka dunia, Giant, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Kelab Berbasikal G Pulau Pinang dan LP Mountain Bike Club.

Acara sukan PgiTD 2014 mempertandingkan 11 kategori bagi peserta lelaki dan wanita berusia 18 tahun dan ke atas.

Bagi acara triatlon, peserta perlu berenang sejauh 1.5 kilometer (km), berbasikal 40km dan berlari sejauh 10km, manakala bagi duatlon, peserta perlu berlari sejauh 5.5km dan berbasikal sejauh 40km.

Peserta yang berjaya mencatat masa terbaik dinobatkan sebagai pemenang.