PBAHB beri imbuhan dividen kepada pemegang saham bagi tahun ke-13

Admin

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB) mencatatkan perolehan syarikat berjumlah RM300.325 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM38 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Perolehan syarikat juga mencatat peningkatan sebanyak 15.06 peratus berbanding tahun sebelumnya, RM261.017 juta (2014) di samping perolehan dari operasi lain yang menyumbang tambahan RM11.245 juta pada tahun 2015.

Kos jualan PBAHB bagi 2015 mencecah RM207.119 juta, manakala perbelanjaan pentadbiran, RM60.632 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAHB, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata, dengan mengambil kira pendapatan faedah, PBAHB mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM44.770 juta.

“PBAHB turut mencatat perbelanjaan cukai bernilai RM6.770 juta, sekaligus mencatatkan jumlah PAT sebanyak RM38 juta tahun lalu,” katanya menerusi sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan PBAHB ke-16 di sini baru-baru ini.

Jaseni memberitahu, PBAHB turut mengumumkan pembayaran dividen akhir sebanyak RM6.62 juta menjadikan dividen bersih PBAHB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 berjumlah kira-kira 7.5 peratus.

“Ini merupakan tahun ke-13 (2015) berturut-turut PBAHB memberi imbuhan dividen kepada semua pemegang sahamnya,” ujarnya.

PBAHB adalah syarikat pegangan awam bagi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Sdn. Bhd., iaitu operator bekalan air yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menyediakan perkhidmatan air di Pulau Pinang.

Sehingga 31 Disember 2015, sumber perolehan utama Kumpulan Syarikat PBAHB adalah penjualan air kepada 575,474 pengguna air berdaftar di negeri ini.