P.Pinang usaha realisasi pilihanraya kerajaan tempatan demi rakyat

CHOW Kon Yeow.
CHOW Kon Yeow.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWNSidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang lepas baru meluluskan Rang Undang- Undang Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan Pulau Pinang dan Seberang Prai bagi membolehkan pilihanraya kerajaan tempatan diadakan di negeri berkenaan.

Rang undang-undang itu dikemukakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow serta dibahaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat tanpa kehadiran ADUN pembangkang Pulau Pinang.

Menurut Kon Yeow, rang undang-undang berkenaan adalah antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengembalikan kuasa rakyat memilih pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui pilihanraya kerajaan tempatan secara demokratik sebagaimana yang pernah dilaksanakan pada era 1960-an.

“Kelulusan enakmen ini akan membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihanraya bagi memilih ahli majlis pihak berkuasa tempatan di negeri ini,” katanya pada satu siding media di sini baru-baru ini.

Ditanya mengenai inisiatif itu yang dikatakan bertentangan dengan hasrat Kerajaan Persekutuan, Kon Yeow berkata, enakmen itu sebenarnya masih membolehkan Kerajaan Negeri mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Malah, Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri akan terus mencari jalan untuk bekerjasama dengan SPR serta pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta kementerian berwajib bagi merealisasikan inisiatif demokratik itu.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dilaporkan berkata, inisiatif Kerajaan Negeri itu adalah bercanggah dengan peruntukan Seksyen 15 Akta 171 (Undang- Undang Persekutuan).

Chee Heung beralih, pendirian kerajaan pusat itu adalah selaras dengan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut:

“Jika mana-mana undang-undang Negeri yang tidak diselaras dengan suatu undang-undang Persekutuan, undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri adalah tidak sah setakat tidak selaras itu.

“Tindakan Kerajaan Negeri meluluskan undang-undang itu tanpa berbincang dengan Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) jelas bertentangan dengan Perkara 95A (6) Perlembagaan Persekutuan,” dalih beliau dipetik dari satu akhbar arus perdana.

Nada yang sama turut dipertegas oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Wan Ahmad dilaporkan berkata, suruhanjaya berpendirian bahawa sebarang perkara membabitkan perubahan dasar dan perundangan mengenainya tertakluk kepada persetujuan MNKT seperti diperuntukkan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan dalih itu, katanya lagi, SPR selaku badan bebas yang mengendali pilihanraya di negara ini pernah diberi kuasa untuk mengendalikan pilihanraya bagi kerajaan tempatan, iaitu mengikut Akta Perumahan dan Kerajaan Tempatan 1960.

Namun, beliau beralih, apabila akta itu dimansuh dan dihentikan kuatkuasanya mengikut Subseksyen 15(1) Akta Perumahan dan Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 10 akta sama (Akta 171) pula menetapkan keanggotaan sesuatu majlis PBT dibuat secara pelantikan oleh Kerajaan Negeri masing-masing.

“Oleh itu, berpandukan akta baru ini, SPR tidak boleh mengendalikan sebarang pilihanraya kerajaan tempatan kerana ketiadaan peruntukan yang memberi kuasa kepada suruhanjaya ini berbuat demikian mengikut undang-udang persekutuan (berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan),” katanya dipetik dari satu akhbar arus perdana.