Pasar awam moden bakal dibangun di Teluk Kumbar

Admin
ISZUREE Ibrahim.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Bagi melonjakkan ekonomi di kawasan Teluk Kumbar, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) telah meluluskan bajet sebanyak RM9.25 juta untuk tujuan pengambilalihan sebidang tanah bagi pembinaan sebuah kompleks pasar awam moden setingkat di sini baru-baru ini.

Ahli Majlis MPPP, Iszuree Ibrahim berkata, inisiatif tersebut diambil ekoran dilema penduduk yang selama ini terpaksa berulang alik ke pekan Bayan Lepas bagi mendapatkan kemudahan dan keperluan asas.

“Dengan adanya sebuah pasar awam lengkap iaitu pembahagian produk barangan basah, kering, runcit, gerai makanan, pakaian dan surau, ia diharap dapat merancakkan ekonomi setempat dan membantu para petani kecil dan nelayan bagi menempatkan barangan mereka untuk dipasarkan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas Mesyuarat Pembentangan Bajet 2013 MPPP di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Majlis, Mohd. Zahry Shaikh Abdul Rahman.

Menurut Iszuree, pasar awam moden berkenaan bakal menempatkan 222 lot gerai.

“Ini adalah satu usaha di bawah Kerajaan PR untuk memartabatkan penduduk dan peniaga di sana.

“Kita (MPPP) berharap penduduk setempat bakal mempunyai kehidupan lebih selesa dan merasa impak perubahan yang dilakukan
Kerajaan Negeri PR,’’ ujarnya.

Tambah beliau, penduduk Teluk Kumbar telah lama diabaikan apabila tiada kemudahan dan pembangunan yang seimbang di kawasan tersebut.

“Tiada bank, pasar mahupun stesen minyak. Justeru, hak penduduk adalah wajib dipertahankan,” tegasnya.

ISZUREE Ibrahim.
ISZUREE Ibrahim.