Pasukan bola tampar berentap selepas 13 tahun

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI


BATU UBAN – Setelah 13 tahun tidak menghantar sebarang penyertaan, tahun ini, kontinjen Pulau Pinang menyahut cabaran untuk berentap dalam Kejohanan Bola Tampar Kebangsaan 2013 yang berlangsung pada penghujung November hingga awal Disember ini.

Ekoran itu, Pulau Pinang mengambil bahagian dalam tiga kategori utama iaitu Lelaki Bawah 16 tahun, Lelaki bawah 14 tahun dan Wanita bawah 16 tahun yang berlangsung di Kuala Selangor, Selangor dan Taiping, Perak.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Frederick Tan Teck An berkata, beliau yang turut turun ke gelanggang latihan di Kampung Buah Pala di sini yakin dengan kerja keras dan komitmen ditunjukkan setiap pemain bagi mencapai kecemerlangan pada kejohanan kelak.

“Saya sendiri hadir melihat latihan gigih para atlet demi menaikkan semula martabat sukan bola tampar di Pulau Pinang setelah sekian lama tidak mengambil bahagian,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Bendera Kepada Pasukan Bola Tampar Pulau Pinang di pejabat MSNPP di sini baru-baru ini.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan GSH Precision Tech Sdn. Bhd. turut menaja serta jersi pasukan.

Teck An dalam pada itu turut menasihatkan para pemain supaya tidak memikirkan kekuatan lawan, sebaliknya bagaimana hendak
menewaskan lawan serta kekal fokus dalam setiap perlawanan.

“Pencabar juga pasti akan berasa sukar dan takut dengan kehadiran semula pasukan kita (Pulau Pinang) yang pernah digeruni satu
ketika dahulu.

“Setelah sekian lama tidak mengambil bahagian, kekuatan kita tidak diketahui lawan dan saya amat percaya kepada barisan jurulatih yang diketuai bekas jurulatih kebangsaan, Liew Kok How untuk memberi persembahan terbaik,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Kok How meletakkan sasaran sekurang-kurangnya pasukannya layak sehingga ke peringkat separuh akhir.

“Itu sasaran saya dan kalau lebih dari itu, bolehlah dianggap sebagai bonus.

“Kejohanan ini dilihat begitu penting setelah kali terakhir pasukan kita (Pulau Pinang) mengecapi kemenangan pada 1996,” jelas beliau yang pernah memenangi kejohanan peringkat kebangsaan ketika mewakili Pulau Pinang sebelum ini.

Jelas Kok How, beliau hanya diberi tempoh masa tiga bulan bagi membentuk skuad yang mantap bagi menghadapi kejohanan tersebut setelah menyahut cabaran MSNPP dan meninggalkan kem kebangsaan di Bukit Jalil, Selangor.