Sony anjur gotong-royong, promosi kitar semula

Ol e h : A HMAD ADIL MUHAMAD

JAWI- Inisiatif syarikat elektronik, Sony EMCS Malaysia Sdn. Bhd. PG Tec (Sony) yang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan persatuan penduduk bagi menjaga kebersihan dan kesihatan sejagat diharap boleh dicontohi kilang-kilang lain di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee berkata, program tanggungjawab sosial tersebut amat dihargai dan menepati slogan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat sebagaimana dilaungkan Kerajaan Negeri.

“Dalam penganjuran Program Gotong-royong Taman Desa Jawi di sini baru-baru ini, seramai 100 pekerja syarikat bersama-sama Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi dan penduduk sekitar terlibat.

“Program tanggungjawab sosial ini patut di teruskan dan diadakan di kawasan-kawasan lain bagi membantu Kerajaan Negeri mencapai visinya,’’ katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Perkhidmatan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ir. Rosnani Mahmod, Nakazawa (Naib Presiden Sony) dan H’ng Mooi Lye (Ahli Majlis MPSP).

Pertandingan mewarna kanak-kanak berumur bawah 12 tahun turut diadakan bagi menanam kesedaran menjaga alam sekitar di peringkat awal.

Penyampaian hadiah pertandingan tersebut disempurnakan Rosnani dengan hadiah ditaja pihak Sony.

Dalam pada itu, Nakazawa memberitahu bahawa Sony merupakan sebuah kilang yang sangat efektif dalam mempromosikan kitar semula.

“Kita haruslah berkerjasama termasuklah kilang-kilang, persatuan penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadikan negeri ini sebuah tempat yang lebih baik dan bersih untuk didiami,” ujarnya.