Pemilik papan iklan diseru kemuka permohonan

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT MERTAJAM– Sebanyak 70 papan iklan haram di sekitar Seberang Perai dirobohkan penguatkuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dalam satu operasi ‘Perang Papan Iklan Haram’ bermula 30 September hingga 18 November lepas.

Justeru, Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Shariff menasihatkan semua pemilik papan iklan tanpa kebenaran berkenaan supaya mengemukakan permohonan kepada MPSP untuk dipertimbang kelulusan.

“Jika tiada permohonan dikemukakan, langkah seterusnya adalah membawa pemilik papan iklan haram ini ke mahkamah melalui Seksyen 70, Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974,” ujarnya dalam Mesyuarat Penuh Kali Ke-473 MPSP di sini baru-baru ini.

Hampir semua Ahli Majlis MPSP diketuai Amir Md. Ghazali turut hadir dalam mesyuarat di Kompleks Ibu Pejabat MPSP, Bandar Perda di sini.

Direkodkan, Jabatan Penguatkuasaan MPSP merobohkan 44 papan iklan haram dalam operasi baru-baru ini, manakala, baki 25 lain dirobohkan sendiri oleh pemilik berwajib.

Pun begitu, Maimunah mendedahkan, sebanyak 17 papan iklan haram didirikan semula oleh pemilik berwajib.

“Terdapat beberapa papan iklan haram dinaikkan semula setelah tindakan meruntuh dijalankan…lapan diruntuhkan semula oleh pemunya (manakala) sembilan oleh MPSP,” ujar Maimunah.

Pada 25 Oktober lepas, Maimunah berkata, pihaknya telah menulis surat kepada mereka yang tegar mendirikan semula papan iklan haram di tempat sama selepas tindakan penguatkuasaan dan salinan surat serupa turut dipanjangkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Bercakap dalam satu sidang media selepas itu, Maimunah berkata, MPSP disenarai sebagai ahli dalam CITYNET atau The Regional Network of Local Authorities for the Management of Human Settlements, iaitu satu pertubuhan antarabangsa.

Pengiktirafan tersebut diperoleh selepas Maimunah sendiri menghadiri 2013 CITYNET Seoul Congress di Korea Selatan pada 3 hingga 6 November lepas.

“Artikel dari Seberang Perai telah menarik minat penganjur dan dipilih pihak CITYNET untuk dimuatnaik dalam sebuah akhbar antarabangsa (iaitu) CITYVOICES,” ujar beliau dalam satu sidang media bersama Setiausahanya, Sr. Rozali Mohamud.