PCEB capai sasaran penganjuran acara perniagaan dengan nilai EEI RM1 bilion, umum KM

TANJUNG BUNGA – Pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi penganjuran acara konvensyen, pameran dan perniagaan serantau meningkat 100 peratus iaitu daripada 1,251 acara pada 2016 kepada 2,511 (2017).

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, Pulau Pinang mampu menjadi destinasi pilihan berlandaskan tiga strategi utama iaitu pembangunan infrastruktur yang mampan, penyediaan pusat-pusat konvensyen serta perniagaan bagi sektor MICE (persidangan, insentif, konvensyen dan pameran) dan sistem pengangkutan awam efisien yang menghubungkan semua fasiliti
perniagaan.

“Ketiga-tiga strategi ini tidak akan direalisasikan sekiranya Biro Konvensyen & Pameran Pulau Pinang (PCEB) iaitu badan berwajib bagi penganjuran acara perniagaan di negeri ini tidak berfungsi.

“Syabas dan tahniah kepada Ketua Pegawai Eksekutifnya, G. Ashwin serta pasukannya…dan sukacita saya memaklumkan bahawa PCEB telah mencapai sasaran nilai penganjuran acara perniagaan RM1 bilion bagi tahun 2017,” ucapnya pada Pelancaran Laporan PCEB bagi tahun 2017 di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, bagi Anggaran Nilai Ekonomi (EEI) keseluruhan tahun 2017, sejumlah RM1.002 bilion atau bersamaan 2,511 penganjuran dan 267,518 peserta direkodkan.

“Daripada jumlah tersebut, acara perniagaan berkelas antarabangsa meningkat kepada 159 program dengan penglibatan 141,294 peserta dan nilai EEI berjumlah RM376.65 juta.

“Manakala bagi penganjuran peringkat domestik, ianya melibatkan 126,224 peserta untuk 2,352 acara dan EEI sebanyak RM626.17 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, Guan Eng memaklumkan bahawa PCEB baru selesai jelajah pameran di India merangkumi Kolkata, New Delhi,
Mumbai dan Bangaluru dalam mempromosikan Pulau Pinang sebagai lokasi terbaik bagi pameran perniagaan serta persidangan antarabangsa.

“Saya difahamkan, PCEB pada tahun ini dijangka akan turut melakukan jelajah ke negara lain seperti China, Korea Selatan, Jerman,
London dan Amerika Syarikat dalam melakukan promosi yang sama,” jelasnya.