Pengalaman bantu Addnan galas amanat baharu lebih mencabar

BERBEKALKAN prinsip ‘Accomplish or Do Not Begin’ menjadikan Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali seorang yang komited terhadap tugas hingga berjaya membina kariernya bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selama 34 tahun kini.

Addnan yang memulakan kerjayanya sebagai Jurutera di Jabatan Kejuruteraan MBPP (ketika itu Majlis Perbandaran Pulau Pinang, MPPP) pada tahun 1984 begitu optimis di dalam bidang teknikal hingga membolehkannya menjawat jawatan sebagai Pengarah Bahagian Kejuruteraan pada tahun 2012 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Bandaraya, 20 Januari 2018 lalu.

Mengimbau pembabitan awalnya bersama MBPP, pemegang BSc Kejuruteraan Awam dari University of Strathclyde, Glasgow, Scotland tersebut merupakan antara pelajar yang berjaya mendapatkan tajaan Biasiswa MPPP ke luar negara pada tahun 1982.

“Setelah tamat Diploma Kejuruteraan Awam pada tahun 1979, saya mencari pengalaman sebagai Pembantu Teknik di Rancangan Pengairan Muda, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Alor Setar, Kedah dan pada masa sama mencuba nasib memohon biasiswa daripada MPPP.

“Alhamdulillah, hasil daripada biasiswa yang diperoleh, saya meneruskan pengajian di peringkat Ijazah di United Kingdom selama kira-kira dua tahun sebelum pulang dan terus mula berkhidmat bersama-sama MPPP sehingga kini,” ujarnya ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara, NORSHAHIDA YUSOFF di pejabatnya barubaru ini.

Bercerita lanjut, Addnan yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Methodist Nibong Tebal sememangnya begitu meminati subjek sains dan matematik sejak di bangku persekolahan hingga menjuruskannya melibatkan diri di dalam bidang kejuruteraan.

“Daripada 11 beradik yang ada, hanya saya seorang menjurus kepada kejuruteraan…minat itu timbul sejak bangku sekolah lagi,” ujar ayah kepada seorang cahaya mata berkaitan.

Tanggungjawab dan cabaran

Disoal berhubung tanggungjawab baharu yang harus digalas, anak jati Sungai Bakap, Nibong Tebal berkenaan memberitahu sememangnya beliau menghadapi cabaran lebih besar kini.

“Jika dahulu ketika menjawat jawatan Pengarah, saya hanya perlu bertanggungjawab dan menjaga satu jabatan sahaja yang terdiri dalam 40 kakitangan… berbanding kini tanggungjawab tersebut semakin berat dan lebih menyeluruh membabitkan 12 jabatan dan tiga sektor MBPP.

“Namun, dengan pengalaman yang ada selama 34 tahun, saya akan cuba buat yang terbaik,” ujarnya.

Pulau Pinang dulu dan kini

Dalam mengorak langkah seiring dengan pembangunan, Pulau Pinang kini semakin terkenal dengan kemasukan pelancong hingga menjadikannya sesak meskipun bukan pada hari cuti umum.

Menurut Addnan, jika dahulu pada era 80-an, kerjakerja pemangkasan pokok penyelenggaraan jalan mudah dilakukan ekoran keadaan trafik yang lancar, tidak seperti hari ini.

“Dahulu pada tahun 80-an mudah hendak buat kerja atas jalan seperti kerja-kerja pangkas pokok, senggara jalan dan sebagainya, tetapi kini meskipun cuti umum atau hujung minggu keadaan trafik masih sama.

“Negeri mula menerima kemasukan kereta dan pengunjung luar apabila Jambatan Pulau Pinang siap pada ketika itu dengan rekod kira-kira 120,000 kenderaan sehari…kini jumlah tersebut semakin meningkat,” katanya sambil tidak menafikan bahawa tanggungjawab MBPP kini adalah lebih mencabar dan besar ekoran Pulau Pinang kian semakin menjadi tumpuan serta terkenal.

Teras utama, hala tuju MBPP

Matlamat One Team, One Voice, One Mission yang digariskan mantan Datuk Bandar, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif menjadi aspirasi hala tuju utama kepada kepimpinan baharu MBPP dalam memantapkan perkhidmatan kepada warga negeri pulau, Pulau Pinang.

Menurut Addnan, selain mengikuti apa yang telah digariskan, MBPP juga akan memfokuskan kepada lima fokus utama iaitu bersih, hijau, selamat, sihat dan ceria termasuk mengimplementasikan 29 program dan 87 aktiviti yang telah dirancang sepanjang tahun ini.

“Antaranya bagi memantapkan lagi perkhidmatan pembersihan bandar serta melestarikan perkhidmatan bersih, indah dan hijau.

“Selain itu, MBPP juga akan memperkasakan prasarana lalu lintas yang lebih sistematik, memantapkan keselamatan awam, mengadakan program-program seni, warisan dan rekreasi serta memfokuskan kepada pengasingan sisa di punca.

“Malah, masalah-masalah kesesakan trafik, banjir kilat dan parkir kenderaan akan cuba ditangani,” kata beliau.