Pulau Pinang bakal dihubung secara digital, ke arah menjadi bandar pintar

GEORGE TOWN – Ke arah menjadi sebuah bandar pintar, Pulau Pinang harus dihubungkan secara digital sepenuhnya dengan akses kemudahan meluas kepada ketersambungan, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, dalam merealisasikan visi sebagai hab bertaraf global pilihan sama ada untuk sektor pelancongan mahupun pelaburan, Pulau Pinang perlu membuka jalan ke arah pembangunan digital.

“(Kita) di Pulau Pinang, di samping tadbir urus yang baik, penyediaan infrastruktur juga turut dititikberatkan agar lebih banyak ‘rangsangan’ untuk pelaburan baru mahupun pelaburan semula di negeri ini.

“Berita BBC baru-baru ini ada memetik bahawa Pulau Pinang adalah Asia’s Silicon Valley dengan menyatakan negeri ini menekankan aspek terhadap teknologi terkini pembuatan perkakasan (hardware manufacturing).

“(Dengan) menyamakan Pulau Pinang sebagai Silicon Valley, ia akan merangsangkan pembangunan teknologi tinggi sekaligus mewujudkan ekosistem teknologi yang semakin canggih,” ucapnya ketika merasmikan semula laman sesawang di bawah Penang Development Corporation Telecommunication Services (PDC Telco) dalam Majlis Integrating Data to Future-Proof Tomorrow di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; barisan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar serta rakan-rakan pelaksana PDC Telco.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, PDC Telco kini giat merencana Pelan Transformasi Digital Pulau Pinang dan dijangka sempurna menjelang penghujung tahun ini.

“Pelan transformasi tersebut akan membawa Pulau Pinang ke tahap sosio-ekonomi baharu dan sekaligus mengubah sektor industri di negeri ini dengan penggunaan teknologi terkini dan digital.

“Dengan usaha yang dilakukan hari ini, saya yakin Pulau Pinang bersedia menghadapi cabaran telekomunikasi masa hadapan serta bersedia ke arah menjadikan negeri ini sebuah negeri yang dihubungkan melalui ketersambungan digital,” katanya.