PDL Fasa II jangka siap Disember 2018 – KM

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang memperuntukkan RM10.8 juta untuk projek pemajuan fasa dua Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) selama 10 bulan dan dijangka siap pada akhir Disember 2018.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, projek tersebut akan dilaksanakan di bangunan kuarters Kerajaan Negeri No. 123, bersebelahan PDL sedia ada dekat Penang Free School di sini.

“Apa yang kita bina adalah empat kali ganda lebih besar daripada PDL sedia ada sekarang,” jelasnya pada sidang media di sini 10 Oktober lalu.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin turut sertai sidang media tersebut.

Hadir sama, Pengarah Perhubungan Korporat Keysight Technologies Malaysia, Jenny Foo; Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Keysight Technologies, Jerry Yeoh serta Pengarah BETA Arkitek, Ar. Tan Bee Eu.

Sejak PDL fasa 1 dibuka pada 8 Oktober 2016, Guan Eng menyatakan bahawa kemudahan itu menerima pendaftaran atas talian sebanyak 2,800 akaun, 2,400 penggunaan aplikasi ReadCasa, 59,000 rekod carian Google dengan kedudukan 4.1/5.0 dan 4.2/5.0 di Facebook.

Tambahnya, PDL fasa I kemudiannya beroperasi 24 jam sehari mulai 1 Mei tahun ini.

“Sebanyak 1,569 e-books disediakan dan bilangan ini akan ditambah sehingga 3,000 sebelum akhir tahun ini,” jelas beliau.

Menurut Guan Eng, pemajuan fasa II PDL adalah bertemakan ‘Perpustakaan Dalam Taman’ dan turut akan operasi selama 24 jam sehari apabila dibuka kelak.