Tukar nama Menteri Pendidikan kepada ‘Menteri Politik’, kata Guan Eng

BAGAN DALAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mencadangkan portfolio Menteri Pendidikan yang ketika ini disandang oleh Datuk Seri Mahdzir Khalid ditukar kepada nama ‘Menteri Politik’.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan turut mengecam kenyataan Mahdzir yang berdalih kononnya insiden bendera dikibarkan dan lagu Umno berkumandang di Sekolah Kebangsaan Presint 14, Putrajaya pada 3 Oktober lalu adalah tidak bersifat politik dan bukan sesuatu yang luar biasa, serta sempena sambutan Hari Kemerdekaan sahaja.

“Itulah sebabnya saya minta itu Menteri Pendidikan bukan Menteri Pendidikan, tukar namalah jadi Menteri Politik,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan selepas Majlis Perasmian Projek Rumah Mampu Milik The Park @ Mak Mandin di sini 7 Oktober lalu.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo turut sertai sidang media itu.

Guan Eng berkata, beliau sendiri dihalang masuk ke sebuah sekolah Cina di Perkampungan Sungai Lembu untuk menyampaikan sumbangan pendidikan pada hari cuti persekolahan baru-baru ini, walhal rombongan Kerajaan Negeri langsung tiada aksi membawa bendera parti atau menyanyikan lagu parti.

Beliau menganggap Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang seakan memberi layanan berat sebelah ke atas seorang Ketua Menteri Pulau Pinang sahaja, berbanding pemimpin pembangkang di negeri ini.