Pencemaran bakal jejas industri penternakan ikan dalam sangkar, Exco gesa tindakan segera

JAWI – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin bakal mengadakan mesyuarat bersama-sama pihak berkepentingan berkait isu pencemaran laut yang berlaku di tapak pelupusan sampah Pulau Burong dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak berkaitan bersama-sama beberapa wakil Jabatan Perikanan Pulau Pinang ekoran maklum balas daripada nelayan setempat yang turut menjalankan penternakan ikan sangkar di sini.

“Saya akan jemput Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, pihak pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau  Burong, PLB Terang Sdn. Bhd., Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan wakil nelayan di kawasan ini.

“Saya amat kecewa dengan JAS yang kita jemput hari ini, namun tidak hadir… pada saya kehadiran JAS adalah amat penting kerana mereka lebih pakar dalam bidang ini, terutamanya untuk memberi pendapat dan nasihat berkaitan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada sidang media yang diadakan di tapak bertarikh 11 Oktober lalu.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MPSP, Jason H’ng Mooi Lye dan Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Dalam Sangkar Sungai Udang, Tioh Tiang Lai.

Afif dalam pada itu turut melahirkan rasa kecewa terhadap komitmen pihak JAS kerana isu pencemaran tersebut telah beberapa kali diketengahkan.

“Sebelum ini, saya difahamkan bahawa pihak JAS memaklumkan yang air dari tapak pelupusan ini selamat dan tidak tercemar, jadi kita hendak tahu penerangan sebenar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa perkara yang bakal ditekankan pada mesyuarat kelak adalah berhubung isu-isu mitigasi kebocoran air tapak pelupusan sampah yang perlu diperhalusi, termasuk kaedah pembinaan tebing, sekatan menggunakan konkrit
atau sebaliknya.

“Kita hanya boleh lihat dengan mata kasar kesan pencemaran yang berlaku, namun saya percaya bahawa JAS lebih pakar untuk selesai dan beri pendapat tentang kebocoran yang berlaku.

“Ini sangat penting kerana jika tidak diambil tindakan segera, ia bakal menjejaskan industri perikanan negeri.

“Kini, Pulau Pinang merupakan nombor dua dalam sektor penternakan ikan dalam sangkar selepas Sabah, justeru, kita tidak mahu alami kerugian berbilion ringgit ekoran masalah pencemaran ini,” tegas Afif.