Peacock Eco Park bakal dibuka kepada umum awal tahun depan

Admin

PERAI – Peacock Eco Park dekat Taman Kimsar, di sini yang diusahakan oleh D. Parantpaman dengan kerjasama Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai bakal dibuka kepada umum pada awal tahun depan.

Ahli Majlis MBSP, David Marshel.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel sewaktu dihubungi memaklumkan bahawa projek tersebut kini hampir siap sepenuhnya.

“Sekarang bumbung sudah dipasang dan hanya tinggal beberapa bahagian yang melibatkan kerja-kerja akhir perlu disiapkan sebelum ia dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak pada hujung tahun ini.

Gambar menunjukkan pemasangan bumbung yang hampir selesai.

“Sebanyak 50 ekor burung merak yang terdiri daripada sembilan jenis spesies bakal dipamerkan di zoo mini tersebut untuk menarik perhatian pengunjung kelak,” katanya.

Dalam pada itu, David memberitahu bahawa pihaknya merancang untuk menambah fasiliti sekiranya permohonan peruntukan RM1.5 juta daripada Kerajaan Persekutuan diluluskan.

“Terdapat beberapa fasiliti yang ingin ditambah kelak iaitu trek joging sepanjang 500 meter yang menghubungkan sungai dan taman ini serta tempat berkayak.

“Saya yakin lebih ramai pengunjung yang akan datang ke sini bukan sahaja untuk mengenali pelbagai spesies burung merak, malah juga dapat beriadah bersama-sama keluarga dan rakan,” katanya sambil menambah bahawa tiada sebarang caj dikenakan kepada pengunjung mini zoo berkenaan.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD