Pelaksanaan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya bukti Kerajaan Negeri komited kurangkan kadar kemalangan

Admin

SEBERANG JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata, pelaksanaan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang begitu komited untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negeri ini.

Katanya, pelaksanaan pelan tersebut penting berikutan jumlah kemalangan jalan raya yang dicatatkan di negeri ini masih lagi di tahap membimbangkan dan memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

Dr. Afif Bahardin bergambar bersama-sama tetamu jemputan khas dan para peserta selepas merasmikan Bengkel Respect Your Vehicle’ pagi ini.

“Untuk makluman semua, Pulau Pinang merupakan negeri pertama di negara ini mempunyai pelan seumpama ini yang mana setiap agensi bertanggungjawab perlu melaksanakan tugas mengikut bidang kuasa masing-masing dan akan dipantau terus oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

“Inisiatif yang diambil ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri begitu komited untuk melaksanakan program-program berkaitan keselamatan pengguna jalan raya di negeri,” katanya semasa merasmikan Bengkel “Respect Your Vehicle” anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang dengan kerjasama Puspakom, Petronas dan Compact Industries dekat Pejabat Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FFM), di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah JKJR Malaysia, Wong Yuan Duenn; Pengurus Besar Petronas Lubricants Marketing, Mr. Gaurav Joshi; Pengarah JKJR Pulau Pinang, N. Thurkahthevi; Ketua Bahagian Pemasaran dan Khidmat Perunding Puspakom, Datuk Ooi Win Juat serta Pengerusi FMM Penang Enviroment, Safety and Health Committee, Mr. Kew Chil Siang.

Mengulas lanjut, Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan berkata, selain faktor keadaan jalan, sikap pemandu dan keadaan kenderaan juga menyumbang kepada berlakunya kes-kes kemalangan jalan raya.

“Justeru, diharapkan agar penganjuran bengkel-bengkel yang melibatkan keselamatan jalan raya dapat diadakan dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Yuan Duenn dalam ucapannya memberitahu bahawa negeri Pulau Pinang masih mencatatkan jumlah kemalangan yang masih rendah berbanding negeri-negeri lain.

Walau bagaimanapun katanya, JKJR masih melaksanakan pelbagai kaedah bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya di negeri ini.

“Mengikut statistik pada tahun lepas Daerah Seberang Perai Utara mencatatkan 6,000 kes kemalangan dengan jumlah kematian adalah seramai 107 orang.

“Daerah Seberang Perai Tengah pula sebanyak 13,000 kes kemalangan dengan jumlah kematian seramai 110 orang manakala Seberang Perai Selatan pula sebanyak 4,000 kes dengan 60 jumlah kematian,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS