Pemilik haiwan kesayangan digalak ambil passport, mudahkan pengenalan pada masa depan – Exco

Admin
DR. Afif Bahardin (dua dari kanan) menunjukkan pasport dimiliki oleh seekor kucing peliharaan yang dibawa untuk mendapatkan rawatan dekat JPV Bukit Minyak pagi ini.

BUKIT TENGAH – Pemilik haiwan kesayangan digalakkan mengambil passport bagi haiwan peliharaan masing-masing demi memudahkan urusan pengenalan haiwan berkenaan pada masa depan.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, meskipun perkara tersebut belum dikuatkuasakan, namun ia amat digalakkan oleh kerajaan bagi mengenal pasti sekiranya ada kes haiwan terbiar, hilang dan sebagainya.

“Melalui pasport ini, kita lebih mengenali haiwan itu berdasarkan cip mikro yang diletakkan padanya.

“Ini yang dilakukan di negara-negara maju… sampaikan di Belanda, sektor pertanian pun mempraktikkan pendekatan sama, mereka boleh mengetahui asal usul sayur tersebut dari mula ditanam hingga sampai kepada pengguna.

“Perkara ini sangat penting kerana ianya melibatkan keselamatan makanan yang sampai kepada pengguna. Kita (Malaysia) perlu lakukan hal yang sama dan perkara ini harus diberikan penekanan sewajarnya,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Klinik Haiwan Kesayangan & Hari Bertemu Pelanggan dekat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Pulau Pinang, di sini pagi ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Pulau Pinang, Dr. Anun Man dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Zarina Ramli.

Merujuk kepada inisiatif membangunkan Klinik Haiwan Kesayangan yang bernilai RM1.55 juta tersebut, Afif ternyata berpuas hati dengan suasana klinik baharu yang lebih luas dan serba lengkap itu.

“Perkhidmatan rawatan klinikal dan surgikal semakin mendapat permintaan dari orang awam, di sini (JPV) menawarkan perkhidmatan berkualiti dengan kadar bayaran yang sederhana demi menampung permintaan tinggi berbanding swasta.

“Selain itu, JPV juga menyediakan pusat penjagaan sementara dan penyediaan lengkap bagi mengelakkan percampuran antara kucing dan anjing demi menjaga sensitiviti masyarakat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Dalam pada itu, Anun ketika berucap memberitahu bahawa purata 20,000 orang datang ke JPV Bukit Minyak bagi mendapatkan perkhidmatan.

“Kebanyakannya berkaitan kucing iaitu kira-kira 76 peratus, anjing (23 peratus) dan lain-lain (satu peratus).

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI