Trek baru sukan berbasikal lasak sempena APMG

Admin

PAYA TERUBONG – Para peserta mountain bike Asia Pasific Masters Game (APMG) 2018 berpeluang menggunakan laluan baru sepanjang dua kilometer yang diperkenalkan dekat Pusat Eko Pertanian Relau di sini.

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang meluangkan masa meninjau trek laluan yang kini sedang dinaik taraf pada 21 Jun lalu.

“Kita (MBPP) melakukan tinjauan untuk melihat persiapan laluan trek yang sedang dinaik taraf bagi salah satu acara APMG iaitu mountain bike yang bakal berlangsung di sini.

“Sehingga kini, 50 negara telah mendaftar untuk menyertai APMG.

“Untuk acara mountain bike ini, umur had minimum adalah 30 tahun dan acara akan dipertandingkan mengikut kelas kategori umur yang ditetapkan,” ujarnya kepada pemberita selepas dibawa meninjau trek laluan tersebut baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan, Mohamed Akbar Mustapha.

Edisi pertama APMG 2018 yang akan berlangsung di Pulau Pinang dari 7 hingga 15 September ini bakal menghimpunkan atlet-atlet bukan elit bertanding dalam pelbagai acara sukan dan Pusat Eko Pertanian di Relau merupakan lokasi rasmi bagi acara mountain bike.

Sehubungan itu, Tung Seang turut menyeru para penggemar sukan berbasikal lasak agar mengambil peluang berkaitan untuk beraksi bersama-sama para peserta lain yang datang dari pelbagai negara.

“Anda berpeluang melalui trek baharu dan juga melalui kawasan kebun durian dan buah-buahan yang terdapat di sini,” jelasnya.

Setiap peserta dikenakan yuran sebanyak RM190 bagi rakyat tempatan dan warga asing (USD190). Setiap penyertaan akan dibekalkan edisi istimewa jersi APMG 2018, medal penamat dan outdoor backpack.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 7 Julai 2018 dan pendaftaran boleh dilakukan melalui laman sesawang www.apmg2018.com.