Pemenang peraduan mewarna, melukis poster anjuran Buletin Mutiara dimuktamad

whatsapp image 2024 04 22 at 2.05.54 pm (2)

GEORGE TOWN – Seramai lapan pemenang Bakat Si Cilik Mewarna 1/2024 dan tiga pemenang Pertandingan Melukis Poster bertemakan ‘Kebanggaan Rakyat Pulau Pinang’ anjuran Sidang Redaksi Buletin Mutiara dimuktamadkan, hari ini.

Proses pemilihan pemenang disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Dr. R.A. Lingeshwaran; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen dan Eksekutif Pentadbiran Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang, Nur Fadzilah Amirah Ismail di pejabat pengurusan Buletin Mutiara di Komtar.

Ketika ditemui, Lingeshwaran menzahirkan memuji kesungguhan para peserta yang menyertai kedua-dua pertandingan tersebut.

Beliau turut berpendapat bahawa pertandingan yang dianjurkan oleh Buletin Mutiara perlu dihebahkan kepada semua ADUN dan juga Ahli Parlimen.

“Saya melihat usaha Buletin Mutiara menganjurkan pertandingan ini, mampu melahirkan generasi cilik yang berbakat dalam mewarna dan melukis.

“(Oleh itu), sidang redaksi Buletin Mutiara perlu mengambil inisiatif dengan memaklumkan perkara ini kepada Ahli-Ahli Parlimen dan juga ADUN supaya dapat menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam kalangan penduduk negeri Pulau Pinang.

“Saya sendiri terpegun melihat bakat yang diserlahkan hari ini yang mana saya sendiri tidak pernah terfikir idea serta konsep yang menarik sebegini jika dikaitkan dengan tema ‘Kebanggaan Rakyat Pulau Pinang’,” katanya yang juga menyarankan agar hebahan mengenai peraduan yang dianjurkan ini diperluaskan ke sekolah-sekolah di serata negeri.

penilaian peraduan mewarna
PARA juri sedang berbincang dan membuat penilaian pemenang peringkat akhir, di sini.

Sementara itu, Yeeh Keen turut menyokong usaha mempromosikan Pulau Pinang melalui peraduan yang dianjurkan dan berharap penyertaan akan lebih meluas.

“Penambahan bilangan atau nilai hadiah perlu dipertingkat supaya lebih ramai pemenang dapat dipilih agar para peserta tidak berasa begitu hampa dan lebih dihargai walaupun tidak berjaya mendapatkan tempat dalam proses pemilihan.

“Pihak Buletin Mutiara juga boleh menambah topik seperti kebudayaan atau tempat-tempat warisan selepas ini supaya dapat memberi gambaran yang lebih unik tentang negeri Pulau Pinang.

“Ini dapat melahirkan belia yang celik dengan pengetahuan mengenai negeri sendiri serta memupuk semangat kekitaan dan cinta akan negeri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nur Fadzilah Amirah berasa kagum dengan hasil akhir peraduan mewarna yang melibatkan peserta berumur 12 tahun ke bawah dan melukis bagi peserta berumur 13 tahun ke atas.

“Saya berhadapan dengan kesukaran untuk memilih pemenang kerana saya sendiri tidak menyangka peserta-peserta cilik ini mempunyai pemikiran kreatif dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Mereka hanya disediakan lukisan yang ringkas tetapi dengan bakat yang ada, masing-masing dapat menghasilkan lukisan yang memberangsangkan,” tambahnya sambil memuji peraduan yang berjaya menampilkan pelbagai elemen kreativiti.

whatsapp image 2024 04 22 at 2.05.53 pm
PENGARAH  Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Yap Lee Ying (kanan sekali) merakam momen bersama-sama para juri usai proses pemilihan pemenang di sini.

Difahamkan, peraduan yang berlangsung mulai 1 Januari hingga 30 Mac 2024 itu menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM500 bagi tempat pertama, RM300 (kedua), RM200 (ketiga) dan RM50 bagi setiap lima pemenang sagu hati.

Manakala, bagi para pemenang Pertandingan Melukis Poster Kebanggaan Rakyat Pulau Pinang berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM700 bagi tempat pertama, RM500 (kedua) dan RM300 (ketiga).

 

Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR