Inisiatif ‘Forest Planting’ sempena Hari Bumi, bantu hijaukan kawasan bandar

Admin
forest tree planting 2024

SUNGAI PINANG – Sempena Sambutan Hari Bumi yang diraikan hari ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Malaysian Humanitarian Foundation, Earthday Organization dan World Cleanup Day (LDIW) mengambil inisiatif menanam beberapa batang pokok teduhan di Taman Areca dekat Persiaran Karpal Singh di sini.

a. rajendran
AKSI spontan A. Rajendran pada majlis berkaitan di sini.

Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata, tujuan inisiatif ini adalah untuk meningkatkan kehijauan bukan sahaja di Taman Areca (Sungai Pinang Park) malah di kawasan bandar sedang membangun seperti Sungai Pinang ini.

“Semakin hari peningkatan suhu semakin meningkat kesan daripada urbanisasi dan ini amat membimbangkan kerana ia mampu menjejaskan kesihatan seseorang.

“Oleh itu, penanaman semula pokok seperti hari ini akan banyak membantu kerana mengikut kajian, spesies kayu tropika telah dikenal pasti mampu tumbuh subur meskipun dalam persekitaran yang panas,” ujarnya pada Majlis Perasmian ‘Forest Planting’ di Taman Areca dekat sini pada 22 April 2024.

lim siew khim
LIM Siew Khim ketika menyampaikan uacapan perasmian pada program pagi ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim yang hadir menyempurnakan gimik perasmian penanaman pokok pagi ini, berharap lebih ramai lagi NGO dan orang-perseorangan tampil menyertai inisiatif murni seperti ini.

“Inisiatif seperti ini mampu mencipta masa hadapan yang lebih baik untuk kita semua dan generasi akan datang.

“Maka, saya menyeru agar lebih ramai anggota masyarakat dari pelbagai latar belakang menyertai Kerajaan Negeri dalam memerangi perubahan iklim dan menjadikan Pulau Pinang lebih hijau,” jelasnya yang juga merupakan Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif (Pro Bono) Malaysian Humanitarian Foundation, Henry Teh Kok Kheng ketika ditemui berkata, pihaknya menumpukan aspek peri pentingnya mewujudkan taman dalam bandar.

“Penanaman pokok ini bukanlah sekadar tentang keindahan alam semata-mata, ia juga mengenai menangani isu alam sekitar yang kerap terjadi seperti pembuangan sisa yang memberikan kesan buruk kepada alam sekitar,” katanya.

Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; barisan Ahli Majlis MBPP dan beberapa wakil NGO antara yang turut serta dalam program tersebut.

Difahamkan, seramai 42 peserta dari pelbagai negara seperti Estonia, Vietnam, Indonesia, Pakistan dan lain-lain juga hadir menyertai program berkaitan di sini.

 

Teks & Gambar : NURUL HAWA FARHIN HAMEDDY