Pemilik premis sedia tong sampah dikuatkuasa MPSP

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT MERTAJAM – Notis 14 hari akan dikeluarkan kepada pemilik premis kediaman atau perniagaan yang gagal menyediakan tong sampah mengikut piawaian sebelum pihak berkuasa tempatan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengeluarkan kompaun lanjut.

Yang di-Pertuanya, Maimunah Mohd. Sharif berkata, penguatkuasaan itu berdasarkan Undang- Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (MPSP) 1994.

“Undang-undang kecil ini sebenarnya telah lama ada. Penguatkuasaan ini bagi memastikan semua premis mempunyai tong sampah,” ujar beliau dalam satu sidang media selepas mesyuarat penuh majlis di Kompleks Ibu Pejabat MPSP di sini baru-baru ini.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud dan dua Ahli Majis MPSP lain, iaitu Amir Ghazali serta Tan Cheong Heng turut hadir pada sidang media itu.

Maimunah berkata, mereka yang gagal membayar kompaun turut berdepan dengan tindakan mahkamah kelak.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengalu-alukan penyertaan persatuan komuniti dalam menyertai kempen ‘Sisa Sifar’ yang dilancarkan oleh MPSP baru- baru ini.

Beliau berkata, kempen itu secara tidak langsung dapat mengurangkan belanja dalam mengurus sisa sampah di sekitar Seberang Perai yang selama ini ditanggung oleh MPSP.

Sementara itu, beliau berkata, penduduk dinasihat supaya tidak sekadar membungkuskan sampah-sarap tanpa diletakkan dalam tong yang bertutup.

Ini kerana, katanya, sisa sampah itu akan terdedah pada anjing, kucing dan sebagainya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan hasil majlis dialog sempena Hari Majlis Ke-39 baru-baru ini yang menyaksikan 41 peratus responden mahu aspek kebersihan menjadi keutamaan MPSP.