Peminat sukan berbasikal dialu sertai Ideal TCCP 2019, Jom mendaftar!

Admin
  • GEORGE TOWN – Bersempena Hari Sukan Negara pada 13 Oktober depan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama Ideal Property Group bakal menganjurkan acara berbasikal berskala besar iaitu Ideal Towards Cycling City Penang (Ideal TCCP 2019) sejauh 100km (kilometer).
    Penolong Pegawai Tadbir di Jabatan Kebajikan Kemasyarakatan MBPP, Khairol Izwan Salamat yang mewakili Pengarah jabatan berkaitan berkata, Ideal TCCP merupakan kesinambungan daripada program berbasikal tahunan Campaign For A Lane (CFAL) yang telah dilaksanakan 10 tahun sebelum ini.
    “Majlis sentiasa menyokong penuh penganjuran program-program yang melibatkan penglibatan masyarakat khususnya dalam mencapai visi Penang2030.
    “Malah untuk menjayakan Ideal TCCP 2019,  buat julung kalinya kita akan menjalinkan kerjasama dengan Tourism Malaysia bagi menguar-uarkan acara ini dalam menarik penyertaan peserta berbasikal dari luar negara,” ujarnya ketika sidang media pengumuman berkenaan di sini pagi ini.
    Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Ideal, Datuk Goh Teng Whoo dan barisan penaja Ideal TCCP 2019.
    Difahamkan kini lebih 1,500 peserta telah berdaftar dan pihak penganjur menyasarkan lebih 2,000 peserta akan menyertainya pada hari penganjuran.
    Ideal TCCP 2019 yang akan berlangsung 13 Oktober depan akan bermula di Car Free Zone dan kayuhan sejauh 100km akan melalui Terminal Feri menuju ke Lebuh Raya Jelutong, Zon Perindustrian Bebas Bayan Baru, Teluk Kumbar, Balik Pulau dan berakhir di Padang Kota Lama.
    Bagi peminat sukan berbasikal boleh mendaftar di

    https://howei.com/event_details/towardscyclingcitypenang(tccp).  Yuran penyertaan berjumlah RM110 dan tarik tutup pada 31 Ogos 2019.
    Jom mendaftar!