Teruskan perbincangan dengan BNM isu 70% pemohon pinjaman perumahan ditolak bank, respons Jagdeep

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa buat masa ini, pihaknya tiada hasrat merancang penubuhan bank pembangunan negeri untuk memperluas pinjaman perumahan tanpa faedah ala Skim Sewa Beli serta bagi tujuan membiayai projek-projek perumahan awam milik Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa beliau yakin pihaknya boleh terus berunding dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai cadangan melonggarkan lagi syarat kelayakan pemohon pinjaman perumahan bank, memandangkan Pakatan Harapan telah menguasai Kerajaan Persekutuan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

“Saya fikir memandangkan Kerajaan Persekutuan telah berubah, itu adalah jawapan kepada rakan saya (wartawan), tak perlu lah kerana kita (Pakatan Harapan) adalah ‘satu keluarga, kalau dahulu (sebelum PRU14) mungkin.

“Sekarang, kita (Kerajaan Negeri) akan meneruskan perbincangan dengan BNM untuk melihat beberapa isu berbangkit,” jelasnya kepada pemberita selepas meninjau Tapak Projek Pembaikan 64 Unit Dua Barisan Terakhir Taman Seri Desa dekat Tasek Gelugor di sini pada 6 Ogos 2019.

Jagdeep menyatakan bahawa perbincangan dengan Bank Pusat mengenai cadangan melonggarkan lagi syarat kelayakan pemohon pinjaman perumahan oleh pihak bank memang memakan masa.

Oleh sebab itu, menurut beliau, Kerajaan Negeri mengambil sikap proaktif dengan memperluaskan Skim Sewa Beli (Rent-To-Own Scheme) bagi 64 unit yang dijangka siap lebih awal, pada bulan Oktober ini.

“Kalau kita (Kerajaan Negeri) nak tunggu (ketetapan BNM itu) mungkin mengambil masa, maka kita melihat pada kaedah-kaedah lain (seperti Skim Sewa Beli),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Dalam perkara berkaitan, Jagdeep sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa rakyat Pulau Pinang sehingga kini menghadapi masalah kadar pemohon pinjaman perumahan yang ditolak oleh bank begitu tinggi, mencecah 70 peratus.

“Apabila kita (Pulau Pinang) bina rumah-rumah seperti ini untuk mereka yang susah (memiliki rumah pertama sendiri), mereka tidak dapat pinjaman daripada bank.

“Sehingga hari ini, saya dimaklumkan oleh pemaju-pemaju, sama ada pemaju swasta mahupun PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang), bahawa itulah adalah cabaran paling utama sekarang kerana suatu (angka) peratusan (pemohon) yang begitu besar tidak dapat pinjaman bank.

“Hampir 70 peratus, kalau 10 orang pergi ke bank setelah kita (Bahagian Perumahan Negeri) buat tawaran (rumah untuk dibeli), kita dimaklumkan tujuh tak boleh dapat pinjaman,” katanya sambil berharap BNM melonggarkan syarat layak pinjaman perumahan oleh bank.

Sebelum itu, Jagdeep menjelaskan 64 unit baki projek pemajuan di Taman Seri Desa pernah tertangguh sebelum ini, disebabkan terlibat dalam pelan asal pemajuan projek landasan keretapi di sini.

Selepas berbincang panjang dengan pihak Kerajaan Persekutuan, beliau berkata bahawa projek pembaikan ditawarkan kepada syarikat Transbizz Network (M) Sdn. Bhd. melalui tender terbuka.

Tambah beliau, kerja-kerja pemajuan bermula pada 12 Disember 2018 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 12 November tahun ini, dengan kos pembaikan sebanyak RM2,091,980.

“64 unit di Taman Seri Desa ini akan dijadikan unit sewa beli, yang mana nilaian akan bermula RM42,000 dan unit-unit tepi akan berharga lebih tinggi sedikit berpandukan pada nilai tanah masing-masing.

“Pembayaran sewa beli bagi 64 unit adalah sebanyak RM250 sebulan dalam tempoh bayaran selama 14 tahun,” jelasnya sambil memberitahu bahawa sehingga kini Kerajaan Negeri memperkenalkan 1,037 unit kediaman melalui Skim Sewa Beli.

Daripada 973 unit kediaman yang diperkenalkan melalui Skim Sewa Beli, 587 unit bagi projek K-Park dekat Daerah Barat Daya; Permatang Tok Subuh, Daerah Seberang Perai Tengah (231) dan Taman Seruling Emas (51) dan Taman Subgai Duri Permai, Daerah Seberang Perai Selatan (104).

Jumlah keseluruhan rumah termasuk RMM yang dibekalkan di Pulau Pinang sehingga kini sejumlah 102,335 unit, melepasi angka 76,000 unit yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Harapan Pulau Pinang sempena PRU14.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD & LAW SUUN TING