Penang Heritage Square kekalkan warisan negeri

ORANG ramai yang hadir bagi meninjau cadangan pelaksanaan Penang Heritage Square di sini baru-baru ini.
ORANG ramai yang hadir bagi meninjau
cadangan pelaksanaan Penang Heritage Square di sini baru-baru ini.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWNKerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bakal membangunkan projek fasa 5 Komtar kepada Penang Heritage Square membabitkan kawasan seluas 4.5 ekar di sini.

Menurut Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar, pembangunan fasa 5 tersebut bakal mengembalikan, menaikkan semula kerancakan pelancongan di George Town dengan promosi tapak warisan, ‘kehidupan jalanan’, kehijauan bagi memastikan pembangunan yang seimbang di sini.

“Sejajar dengan pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan inisiatif menjadikan Komtar pusat sosial-sivik serta hub perniagaan negeri, pembangunan Penang Heritage Square bakal merangkumi lima teras utama.

“Ia termasuk menaiktaraf dan memperbesarkan Pasar Sia Boey (Pasar Prangin), mewujudkan ruang urban, mewujudkan Heritage Celebration Square dan George Town Heritage Centre (GHC), membaikpulih lot rumah kedai warisan lama dan pemulihan Sungai Prangin,’’ katanya pada Pameran Cadangan Projek Heritage Square di Tingkat 3 Komtar di sini baru-baru ini.

Ruang pameran yang dirasmikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat bagi mendapatkan maklum balas umum berhubung pelaksanaan projek berkenaan.

Berhubung cadangan projek pembangunan berkenaan, Rosli memberitahu bahawa, Pasar Sia Boey bakal diberi nafas baru dengan mempelbagaikan produk jualan kepada kraf tangan, cenderamata, bunga, dan makanan.

“GHC yang bakal diwujudkan adalah ekoran keperluan ruang awam yang lebih banyak untuk aktiviti rekreasi, berhimpun, sambutan dan persembahan kebudayaan bagi mempromosikan corak kehidupan sihat yang secara tidak langsung turut mempromosikan kebudayaan, seni dan tradisi di George Town.

“Bangunan usang di Jalan Maxwell juga akan dibangunkan dengan pelbagai lot kedai seperti kafe, muzium mini, pusat kraf tangan, butik dan hotel bertemakan warisan. Jalan beredekatan akan dihadkan kepada kenderaan dengan mengutamakan pejalan kaki,’’ jelas beliau.

Tambahnya, kerancakan fasa 5 turut ditambah dengan pembinaan bangunan GHC lima tingkat berkonsepkan ‘street plaza’ yang bakal menjadi lokasi aktiviti persembahan seni, budaya, warisan, komuniti dan belia.

“Komponen terakhir adalah membabitkan terusan Prangin (Sungai Prangin) yang bakal diperindahkan dengan landskap bagi mewujudkan zon makanan ‘jalanan’ dan perabot di sini,’’ ujar Rosli.

Sebarang pertanyaan dan pendapat, sila layari [email protected].