UBB: KN sambut baik sokongan Nur Jazlan

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik sokongan yang diberikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berhubung kenyataannya terhadap pameran United Buddy Bears (UBB) di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, semangat yang ditunjukkan Nur Jazlan merupakan semangat ‘Malaysia untuk semua’.

“Kerajaan Negeri berbesar hati dan berterima kasih kepada beliau (Nur Jazlan) kerana menyokong kita (Pulau Pinang) mempromosikan keamanan dan toleransi.

“Sekurang – kurangnya, beliau (Nur Jazlan) mempunyai sikap bahawa negara (Malaysia) ini untuk semua dan kita adalah negara yang bersederhana dalam semua aspek,” ujarnya selepas mengadakan lawatan ke Pameran UBB di Padang Kota Lama bersama-sama Duta Jerman di Malaysia, Holger Michael di sini baru-baru ini.

Turut sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan) dan Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Air Itam).

Baru-baru ini, Nur Jazlan dalam satu kenyataan menyifatkan kejadian vandalisme pada patung UBB di Pulau Pinang merupakan suatu tindakan mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sederhana.

Lanjutan itu, Nur Jazlan turut menerima rungutan dan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Jerman dan dutanya di Malaysia berhubung kes tersebut.

Dalam pada itu, Michael ketika ditemui memberitahu, patung UBB adalah melambangkan kepelbagaian, toleransi dan persefahaman, terutamanya di antara Jerman, Malaysia dan Pulau Pinang.

if (document.currentScript) {