RTB Lembangan Sungai Pinang, Pusat buang masa 18 tahun – Exco

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

DATUK KERAMAT – Di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat sahaja, Kerajaan Negeri menerima 904 borang permohonan tuntutan bayaran RM400 secara ‘one-off’.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh berkata demikian ketika melawat sekitar Masjid Acheh Kebun Lama, yang dilanda banjir selut dalam dua kejadian pada 15 dan 28 September baru-baru ini.

“Kerajaan Persekutuan telah membuang masa kira-kira 18 tahun untuk melaksanakan projek-projek  Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di lembangan Sungai Pinang, gagal menyalurkan peruntukan yang sebenarnya telahpun dijanjikan.

“Tetapi Kerajaan Negeri hari ini, sejak tahun 2008, akan berusaha membantu rakyat yang terjejas teruk dalam banjir, antaranya dengan pemberian RM400 secara ‘one-off’ ini,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat di sini 29 September lalu.

Bercakap pada sidang media sama, Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang memberitahu, pihaknya menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk membantu kerja-kerja pemulihan pasca banjir.

“MBPP juga telah menubuhkan pasukan kecemasan yang bersiap sedia 24 jam, untuk kerja-kerja pemulihan (pasca) banjir, jika diperlukan,” jelasnya.