Penduduk Bayan Lepas aktif & bersemangat perpaduan

Admin

 

BAYAN LEPAS – Sambutan penduduk sekitar Dewan Undangan Negeru (DUN) Bayan Lepas terhadap beberapa program peringkat DUN Bayan Lepas amat menggalakkan. Menurut Pegawai Penyelaras Kawasan DUN tersebut, Asnah Hashim, rata-rata penduduk memberi kerjasama yang menggalakkan dan beliau bersyukur kerana aktiviti masyarakat yang dijalankan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk berkenaan.

Umpamanya, Program Cleaner Greener Penang yang dianjurkan secara bersama dengan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamtan Komuniti (JKKK) Bukit Gemuruh, Zailan Zainon, mendapat sambutan yang menggalakkan. Selain mengadakan aktiviti gotong-royong, pertandingan Rumahku Bersih turut dianjurkan di samping beberapa pertandingan lain. Malah pada hari tersebut juga turut diadakan cabutan bertuah.

Selain itu, acara sukaneka rakyat turut dianjurkan. Selain mempertandingkan beberapa acara sukan tradisional, pertandingan pakaian beragam menggunakan bahan-bahan terpakai dan pertandingan motosikal tercantik turut diadakan. Penyertaan daripada pelbagai lapisan kaum dan usia memberi gambaran dan suasana harmoni di DUN Bayan Lepas.

Malah, Penang Sejahtera yang dianjurkan turut mendapat sambutan. Selain mengadakan persembahan artis jemputan, Penang Sejahtera turut menyajikan program-program alternatif yang berbentuk tazkirah dan keagamaan. Menurut Asnah, beliau amat teruja dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk dan berharap agar beberapa program yang dirangka pada masa hadapan turut mendapat sambutan daripada penduduk setempat.