Skuad Prihatin telus bela nasib rakyat

Admin

ABDUL Jalil sedang mengambil butiran berkaitan warga emas yang lumpuh akibat strok di Taman Sembilang, Seberang Jaya.
ABDUL Jalil sedang mengambil butiran berkaitan warga emas yang lumpuh akibat strok di Taman Sembilang, Seberang Jaya.

OLEH : ZULIANA AZIZ

SEBERANG JAYA – Skuad Prihatin Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya merupakan sebuah badan sukarela yang telah ditubuhkan pada Ogos 2010, bertujuan menjalankan kerja-kerja amal, kebajikan dan hal-hal berkaitan kemasyarakatan.

Ahli-ahli Skuad Prihatin terdiri daripada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Permatang Pauh dan Jawatankuasa Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK). Antaranya ialah Pegawai Penyelaras Kadun Seberang Jaya, Abdul Jalil Che Ros ; Pegawai Pusat Khidmat Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ahmad Nor Azlan ; wakil PKR cabang Permatang Pauh, Alias Said ; wakil AMK Permatang Pauh, Afzal Khan serta turut dibantu oleh JKKK Kadun Seberang Jaya. Mereka ditugaskan untuk mendapatkan maklumat dan mengenalpasti permasalahan di kawasan masing-masing dan setiap isu akan dimaklumkan kepada Skuad Prihatin untuk diselesaikan.

Pelbagai program telah diadakan termasuk gotong-royong bersama JKKK serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), pengedaran Buletin Mutiara, program komoditi bersama agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Pusat Urus Zakat (PUZ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain.

Selain dari itu, aktiviti ziarah dan lawatan juga telah diadakan di seluruh pelosok kawasan DUN Seberang Jaya, rumah perseorangan, rumah orang-orang tua, tempat awam dan hospital. Aktiviti ziarah dan lawatan ini bertujuan memberi bantuan kepada orang-orang tua, orang miskin, anak yatim dan orang sakit di samping memberi bantuan dan sumbangan kepada mangsa bencana alam seperti ribut, kebakaran dan sebagainya.

Pada masa sama, pelbagai program juga telah dirancang dalam masa terdekat bagi mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat sekeliling dengan ahli-ahli Skuad Prihatin. Di antara program yang telah dirancang ialah Karnival Penang Harmoni, Karnival Hari Kerjaya, program motivasi (sentuhan akhir) untuk pelajar UPSR, PMR dan SPM, sukaneka rakyat, lawatan ke Rumah Orang-orang Tua Darul Hannan di Pokok Sena, lawatan dan sumbangan hamper ke wad kanak-kanak Hospital Seberang Jaya, bantuan persekolahan dan program penerangan kepada komoditi tentang hal ehwal peranan pejabat pusaka kecil.

Skuad Prihatin mempunyai misi dalam menyemarakkan budaya masyarakat berkebajikan di kalangan rakyat pelbagai kaum, memberi kesedaran tentang kepentingan hidup saling membantu agar mewujudkan persekitaran yang harmoni, memastikan tiada golongan yang terpinggir dan menerapkan sikap prihatin di kalangan generasi muda.

SKUAD Prihatin ketika menziarahi seorang remaja yang patah kaki akibat kemalangan motosikal di Jalan Tenggiri, Seberang Jaya.
SKUAD Prihatin ketika menziarahi seorang remaja yang patah kaki akibat kemalangan motosikal di Jalan Tenggiri, Seberang Jaya.