Penduduk syukur bantuan persekolahan Kerajaan Negeri

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

SALAH seorang wakil JKKK Kampung Datuk yang hadir ke Dewan JKKK Permatang Serdang menerima baucar sumbangan daripada Johari Kassim (kiri sekali) pada Majlis Penyampaian Baucar Kelengkapan Persekolahan bagi KADUN Bertam, di sini baru-baru ini.
SALAH seorang wakil JKKK Kampung Datuk yang hadir ke Dewan JKKK Permatang Serdang menerima baucar sumbangan daripada Johari Kassim (kiri sekali) pada Majlis Penyampaian Baucar Kelengkapan Persekolahan
bagi KADUN Bertam, di sini baru-baru ini.

BERTAM – “Terima kasih banyak-banyak. Syukur sangat”. Itulah ungkapan Kamariah Alias, 33, yang merupakan salah seorang waris yang hadir ke Majlis Penyampaian Baucar Kelengkapan Persekolahan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bertam, di sini baru-baru ini.

Menurut Kamariah,  sumbangan tersebut sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan beliau dan suami yang hanya berkerja sendiri sebagai pesawah. Beliau yang mempunyai empat anak turut menyatakan bahawa sokongan beliau terhadap program seumpama ini dan berharap ia dapat diperluaskan kepada bukan sahaja murid-murid sekolah rendah, malah, pelajar-pelajar di sekolah menengah.

Selain itu, Dirya Dhashaaynee, 14, yang hadir bagi pihak adiknya Parriveena Sree, 8, turut menyatakan rasa terima kasih kepada Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Bertam, Asrol Sani dan JKKK Kampung Datuk yang tampil membantu mereka.

“Sumbangan dari Kerajaan Negeri ini adalah dengan harapan supaya anak-anak yang ingin menuntut ilmu mendapat keselesaan dan semangat untuk terus berusaha sehingga ke peringkat yang tertinggi (dalam pelajaran),” ujar Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Johari Kassim yang turut hadir menyampaikan sumbangan kepada lebih 30 waris yang hadir.

Menurut Asrol, sumbangan tersebut merangkumi sepasang pakaian seragam sekolah, kasut dan sarung kaki. Beliau turut berharap agar sumbangan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan ia merupakan pendekatan Kerajaan Negeri dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja berjaya malah celik ilmu.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri, Ahli Majlis yang hadir dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di KADUN Bertam yang tidak pernah berputus asa membantu dalam meringankan bebanan rakyat,” ujar Asrol lagi.