Penerbangan semula erat hubungan dua ‘bandar’

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAYAN LEPASHubungan dua hala Pulau Pinang – Medan bakal dipereratkan lagi dengan kembalinya penerbangan dua kali sehari oleh syarikat penerbangan, Garuda Indonesia di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, syarikat penerbangan sama telah menamatkan perkhidmatan tersebut pada tahun 2003 atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, inisiatif tersebut pastinya disambut baik Kerajaan Negeri kerana ia bakal memberikan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi dan sector pelancongan bagi kedua-dua ‘bandar’ ini.

“Tambahan pula, Medan merupakan sebuah kota yang menjadi pintu masuk ke Indonesia Barat khususnya Sumatera,” ujarnya ketika menyambut ketibaan pesawat pertama dari Medan ke Pulau Pinang di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas Pulau Pinang (LTABLPP) di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon. Penerbangan yang beroperasi dua kali sehari tersebut mampu menerbangkan seramai 92 penumpang untuk setiap perjalanan.

Malah, pengoperasian semula berkenaan juga bakal memberi saingan kepada syarikat-syarikat sedia ada seperti Air Asia, Firefly, Sriwijaya dan Wings Air.

Dalam pada itu, Duta Konsul Jeneral Indonesia ke Pulau Pinang, Sofiana Mufidah berkata, dengan adanya penerbangan terbabit, bidang perubatan negeri juga bakal memperoleh manfaat yang baik.

“Seperti yang kalian ketahui, pelancong dari Medan bukan sahaja berkunjung ke sini untuk melancong, malah juga bagi mendapatkan rawatan di rumah sakit (hospital) di Pulau Pinang,’’ jelas beliau.