Pindaan kanun lindungi kanak-kanak bawah umur perlu

Admin

 

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNPindaan undang-undang harus dilaksanakan dalam kes melibatkan kanak-kanak bawah umur sebagai mangsa rogol dan cabul dalam negara.

Kenyataan tersebut ditegaskan aktivis, Datuk S. Ambiga pada penganjuran forum ‘Protecting Our Children: Evaluating Statutory Rape’ anjuran Penang Institute (PI) bertujuan membincangkan isu berkaitan perundangan melibatkan kes-kes rogol dan cabul kanak-kanak bawah umur di Malaysia.

Menurut Ambiga, setakat ini, apabila isu dikaitkan dengan jenayah, undang-undang yang termaktub tidak mengambil kira persetujuan mangsa (kanak-kanak bawah umur) kerana undang-undang mengandaikan mangsa tidak boleh bersetuju.

“Hal ini yang perlu disemak semula dan jika perlu, ianya harus dipinda agar tidak ada lagi kes-kes ‘berlembut’ dengan pesalah rogol dan cabul kanakkanak bawah umur,” tegasnya pada penganjuran forum tersebut di sini baru-baru ini.

Ambiga berkata demikian dengan merujuk kepada kes pemain boling kebangsaan, Noor Afizal Azizan, 21, dan juruelektrik, Chuah Guan Jiu, 22, yang disabitkan kesalahan rogol kanak-kanak bawah umur.

Noor Afizal dan Guan Jiu dari Pulau Pinang ‘dilepaskan’ dari hukuman penjara atas sabit kesalahan merogol kanak-kanak berusia 13 tahun dan 12 tahun masing-masing.

Kes terbaru adalah di Inaman, Sabah yang mengejutkan pelbagai pihak apabila pencabul berusia 40 tahun yang didakwa merogol kanak-kanak berusia 12 tahun ‘dibebaskan’ setelah pencabul bersetuju untuk berkahwin dengan kanak-kanak berkenaan.

Walaupun mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi kesalahan merogol kanak-kanak di bawah umur.

Ambiga yang juga merupakan pembahas forum tersebut turut mempersoalkan sama ada undangundang membenarkan hukuman ke atas pesalah yang menggoda dan memerangkap mangsa melalui laman sesawang.

“Di Kanada, mengumpan (sama ada menggoda atau memerangkap mangsa) di laman sesawang adalah suatu kesalahan.

“Sepatutnya kita adakan suatu akta bagi melindungi anak-anak kita yang melayari laman sesawang (dari sebarang godaan dan perangkap) kerana terdapat kekangan yang dihadapi ibu bapa untuk mengawasi anak-anak sepanjang masa,” tegas beliau.

Bagi Pengarah Eksekutif Sisters In Islam (SIS), Ratna Osman berkata, adalah penting untuk Mahkamah Shariah menjelaskan peruntukan undang-undang yang hanya akan membenarkan usia perkahwinan bagi lelaki yang berusia 18 tahun dan perempuan berusia 16 tahun.

“Dalam kes di mana kanak-kanak perempuan yang dirogol berusia 13 tahun, Mahkamah Shariah telah membenarkannya berkahwin dengan perogol, harus dipinda.

“Jika seseorang yang berusia bawah umur tidak dibenarkan untuk membeli rokok, memandu atau mengundi, mengapa perlu ada kelonggaran membolehkan kanak-kanak berkenaan untuk berkahwin? Apakah ini yang dikatakan negara membangun?,” katanya yang turut menjadi pembahas pada forum berkenaan.

Manakala, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng pula berpendapat bahawa perlunya sistem perundangan mematuhi konvensyen antarabangsa berkaitan salah laku yang melibatkan kanakkanak di bawah umur.

“Di bawah Akta Kanak-kanak 2001, kanak-kanak ditakrifkan sebagai mereka yang berusia 18 tahun ke bawah yang mana telah ditetapkan oleh konvensyen antarabangsa mengenai hak kanak-kanak.

“Ia diiktiraf di peringkat antarabangsa dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memelihara hak anak-anak mereka,” tegasnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang. Forum ‘Protecting Our Children: Evaluating Statutory Rape ’ dikelola oleh ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin dan dirasmikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.