Penfurnex – Acara tahunan yang gemilang

Admin
ORANG ramai tidak melepaskan peluang menghadiri acara tahunan yang dianjurkan oleh Penang Furniture Manufacturers and Dealers Association (PFMDA).
ORANG ramai tidak melepaskan peluang menghadiri acara tahunan yang dianjurkan oleh Penang Furniture Manufacturers and Dealers Association (PFMDA).

BAYAN BARU – Suasana rumah pada masa kini bukan sahaja memberi gambaran ketenangan untuk didiami malah turut memberi gambaran tentang personaliti penghuninya. Pelbagai cara digunakan oleh masyarakat untuk mendapatkan idea yang bertepatan dengan gaya hidup dan kemampuan individu, sama ada melalui majalah, buku-buku dekorasi dan mungkin juga pereka khas.

Oleh yang demikian, PENFURNEX (Penang Furniture and Furnishing Exhibition) menawarkan pelbagai jenis hiasan dalaman umpamanya bertemakan oriental, klasik, ringkas dan moden, bersesuaian dengan rumah impian anda. Bertemakan ‘Define Your Home’s Style’, PENFURNEX 2011 telah dianjurkan oleh ‘Penang Furniture Manufacturers and Dealers Association’ (PFMDA), sekaligus mampu memberi anda rumah impian anda.

PENFURNEX merupakan acara tahunan PFMDA, menjadi platform unggul bagi pembuatan hiasan dalaman dan dekorasi rumah. PENFURNEX mula dianjurkan pada 2004, kini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penawaran pelbagai jenis inovasi dan kreativiti perabot dan hiasan dalaman pada harga yang berpatutan. Malah penganjurannya kini memberi suatu penanda aras kepada PFMDA.

Objektif PENFURNEX bukan sahaja menawarkan variasi perabot, malah turut membuka ruang kepada pengilang dan pembuat perabot untuk mempamerkan hasil pembuatan perabot tempatan.

PENFURNEX kali ke-9 pada tahun ini telah mensasarkan seramai 45,000 pengunjung. Malah penganjuran antara PFMDA dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Penang International Sports Arena (PISA) ini telah membuka ruang kepada PFMDA untuk menandatangani perjanjian pengiklanan unggul dengan Rapid Penang Sdn. Bhd baru-baru ini. Lima buah bas Rapid Penang akan dijadikan ‘papan iklan bergerak’ bagi tujuan mempromosikan PENFURNEX.

Selain itu, PENFURNEX turut menarik minat lebih daripada 80 pempamer dengan lebih 430 ruang pameran telah disediakan merangkumi ruang pameran perabot, hiasan dalaman, kelengkapan rumah dan pembuatan lantai dan dinding.