Umum dialu sertai Program Kaji Selidik Bajet MBPP 2019

SERI DELIMA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini dalam peringkat kajian penyediaan Bajet 2019 berkonsepkan penglibatan awam.

Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang berkata, ke arah penyediaan sebuah bajet yang lebih menyeluruh dan komprehensif, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan kini giat melaksanakan Program Kaji Selidik Bajet 2019.

“Memandangkan Bajet 2019 dalam peringkat kajian, maka MBPP ingin mendapatkan maklum balas dan penglibatan orang awam supaya suatu bajet lebih menyeluruh dapat disediakan bagi manfaat penduduk Pulau Pinang.

“Pandangan, idea daripada umum dan pemimpin masyarakat akan dijadikan inspirasi dalam merangka pelbagai program yang bakal dilaksanakan kelak,” ujarnya pada Program Sesi Dialog Bajet 2019 di sini 3 Februari lalu.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng.

Justeru, Tung Seang menyeru orang ramai untuk turut serta mengemukakan pandangan dan cadangan yang telah bermula kini sehingga 30 April 2018.

“Kita mengharapkan lebih ramai penyertaan awam dalam kaji selidik ini. “Selain sesi dialog, umum boleh juga mengemukakan cadangan di kaunter Majlis, van bergerak dan secara online di laman sesawang, www.mbpp.gov.my,” jelas beliau.