GEORGE TOWN – Isu pengambilan tanah yang mengambil masa panjang untuk diselesaikan serta rundingan berhubung pengalihan utiliti dikenal pasti sebagai antara faktor utama kelewatan pelaksanaan projek Jalan Tok Kangar, Juru.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, isu berkenaan turut menyebabkan kelewatan pelantikan subkontraktor dinamakan (Nominated Subcontractor, NSC), sekali gus menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek tersebut.
Menurutnya, peningkatan kos projek pula turut melibatkan pelantikan kontraktor penyelamat oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang memulakan kerja pada 15 April 2025.
Beliau menjelaskan bahawa skop kerja asal turut mengalami perubahan berdasarkan aduan serta maklum balas yang diterima daripada pihak berkepentingan dan penduduk setempat.
“Antara kerja tambahan yang dilaksanakan termasuk menaik taraf jambatan sedia ada yang mengalami pemendapan bagi memastikan keselamatan serta kestabilan struktur.
“Selain itu, pembinaan kolam takungan sementara (On-Site Detention, OSD) turut dimasukkan bagi menangani masalah banjir di kawasan projek,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon, berhubung punca kelewatan projek Jalan Tok Kangar sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini, sebentar tadi.
Tambah Zairil, reka bentuk persimpangan Jalan Delima 1 dan Lorong Delima Jati 1 juga terpaksa diubah suai serta ditambah baik susulan aduan penduduk setempat dan pihak stesen minyak Petronas.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa projek berkenaan pada asalnya dimulakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum tanggungjawab pelaksanaannya diserahkan kepada PDC pada peringkat reka bentuk sekitar tahun 2013 hingga 2015.
Walau bagaimanapun, katanya, beberapa isu berbangkit termasuk kegagalan mengenal pasti tanah milik persendirian di kawasan tambakan jambatan (embankment), sepatutnya dapat ditangani lebih awal menerusi perancangan dan penyelarasan bersama semua agensi teknikal.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa antara iktibar utama daripada pelaksanaan projek berkenaan adalah keperluan memperkukuh penyelarasan dengan syarikat utiliti sejak peringkat reka bentuk, sebelum proses tender dimuktamadkan.
“Langkah ini penting bagi mengurangkan keperluan mengeluarkan Arahan Perubahan Kerja (APK) serta mengelakkan permohonan lanjutan masa yang boleh menjejaskan tempoh pelaksanaan projek,” jelasnya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT