Penghuni ‘degil’ bayar caj penyelenggaraan boleh didenda – Exco

GEORGE TOWN – Penduduk di bangunan berstrata di negeri ini digesa supaya menjelaskan segera bayaran caj penyelenggaraan bulanan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, tindakan penguatkuasaan tersebut adalah mengikut Seksyen 78 dan Seksyen 79 di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

“Sekiranya penghuni atau pemunya unit didapati bersalah mengikut seksyen-seksyen berkaitan, Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) boleh membuat permohonan bersumpah untuk mengeluarkan waran penahanan harta.

“Pemunya unit juga boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjarakan selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali di samping caj penalti sebanyak RM50 sehari sekiranya mereka masih gagal membayar bayaran caj penyelenggaraan,” ucapnya pada Majlis Perasmian Bengkel Pengurusan Strata di sini baru-baru ini.

Menurut Jagdeep, pelaksanaan akta berkaitan bukan untuk menakutnakutkan orang ramai, sebaliknya ia dapat menyelesaikan banyak masalah terutama dari segi penguatkuasaan pengurusan komuniti strata dan penyelenggaran bangunan berstrata.

“Akta Pengurusan Strata 2013 ini digubal untuk memastikan keseragaman undang-undang serta dasar berkenaan pihak kerajaan tempatan berhubung pengurusan bangunan berstrata dan harta bersama.

“Sehingga kini, melalui maklum balas daripada JMB dan MC pihak-pihak berkaitan hanya menerima 60 hingga 70 peratus sahaja caj penyelenggaraan daripada penghuni (tiada yang 100 peratus).

Situasi tersebut adalah amat serius kerana ia menyebabkan kerugian pada pihak Kerajaan Negeri sekiranya ia berlanjutan,” jelas beliau.

Jagdeep dalam pada itu turut memberikan butiran terperinci mengenai perbelanjaan ditanggung Kerajaan Negeri yang berjumlah RM21.1 juta bagi tujuan penyelenggaraan antara tahun 2010 hingga September 2015.}