Pengiktirafan halal tanda tahap kesedaran kian meningkat – Exco

Teks & Gambar: DARWINA MOHD. DAUD

SEBERANG JAYA – Satu-satunya hotel bertaraf lima bintang di Seberang Perai, Hotel The Light baru-baru ini memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia di sini.

Sijil tersebut disampaikan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dato’ Abdul Malik Abul Kassim pada Seminar Pematuhan Halal Premis Makanan Pulau Pinang.

Abdul Malik yang juga Pengerusi Penang International Halal Hub (PIHH) berkata, pengiktirafan tersebut secara tidak langsung menandakan tahap kesedaran yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan integriti halal dalam industri perniagaan serta perkhidmatan makanan tempatan.

“Pengesahan ini berperanan sebagai pemangkin berterusan bagi rantaian industri perhotelan serta premis makanan amnya di Pulau Pinang untuk mendapatkan pengiktirafan halal.

“Industri produk dan perkhidmatan makanan diiktiraf halal oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) bukan sahaja dapat menambah keyakinan masyarakat Islam, malah juga berpotensi menembusi pasaran bukan Islam berteraskan kualiti, kebersihan dan keselamatan,” ucapnya pada majlis berkaitan.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Sazali Hussein, pegawai-pegawai Bahagian Pengurusan Halal dan pihak pengurusan Hotel The Light turut hadir pada  seminar itu.

Menurut Abdul Malik, semenjak PIHH ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2008, premis yang berdaftar dengan sijil Halal Malaysia meningkat kepada 667 premis sehingga April 2014 berbanding 55 premis pada ketika itu (2008).

“Statistik premis makanan berdaftar halal merekodkan pertambahan dari enam outlet (2008) kepada 61 outlet (pemegang sijil halal semasa) iaitu pertambahan sebanyak 967 peratus.

“Manakala, statistik outlet makanan hotel yang berdaftar halal turut bertambah daripada empat outlet (2008) kepada 27 outlet sehingga April 2015,” ujar beliau.

Terdahulu, Restoran Original Kayu Nasi Kandar, rangkaian makanan segera Subway, kafe Old Town White Coffee meliputi 16 cawangan dan Restoran Nasmir Nasi Kandar turut menerima sijil pengesahan sama pada majlis yang diadakan secara berasingan.

if (document.currentScript) {