Penternak, orang awam diminta lapor kepada JPVD terdekat jika berlaku kes kematian babi

Admin

BUKIT TAMBUN – Penternak dan orang awam diminta membuat laporan segera kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah (JPVD) terdekat sekiranya terdapat insiden kematian membabitkan babi hutan, babi kampung atau babi komersial.

Laporan juga boleh dibuat kepada JPV Negeri atau menerusi hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya di talian 03-8870 2041 atau hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, JPV Pulau Pinang di talian 04-5041047.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah itu penting bagi membolehkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengambil tindakan segera ke atas ladang-ladang terlibat sekali gus dapat mengekang perebakan Demam Babi Afrika (ASF) di negeri ini.

Ketua Menteri mendengar taklimat berkaitan kes ASF daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang.

“Sekiranya insiden ini tidak dilaporkan, maka kerja-kerja pengesanan ASF sudah terlambat dan kes jangkitan kemungkinan sudah merebak ke ladang-ladang babi komersial yang lain di negeri ini.

“Justeru, pegawai JPV turut ditempatkan di pusat-pusat sembelihan bagi memastikan babi yang dihantar ke pusat berkenaan tidak mempunyai tanda-tanda dijangkiti selain pihak jabatan dapat mengesan dari mana babi yang dihantar untuk tujuan sembelihan,” katanya pada sidang media sempena lawatan ke Perkampungan Valdor di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Dr. Akma Ngah Hamid; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang, Dr. Saira Banu Rejab serta wakil-wakil berkaitan.

Meneliti peta lokasi ladang yang dijangkiti ASF.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri juga mengisytiharkan kes tersebut sebagai bencana apabila JPV Negeri mengesahkan sebanyak tujuh ladang komersial di negeri ini telah dijangkiti ASF.

“Sehingga hari ini (13 Januari 2023), tujuh buah ladang babi komersial telah dijangkiti iaitu masing-masing lima di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan dua di daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

“Pengesahan penyakit dibuat melalui ujian Polimerase Chain Reaction (PCR) yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara Bukit Tengah, Pulau Pinang pada 4 hingga 12 Januari lalu ke atas sampel babi dari ladang-ladang tersebut,” katanya.

Serentak itu menurut beliau, JPV Pulau Pinang turut menjalankan ‘stamping out policy’ menerusi pemusnahan babi di ladang yang disahkan positif penyakit ASF bagi mengawal dan mencegah perebakan wabak berkenaan.

“Pemusnahan dijalankan menggunakan kaedah gas CO2 (High Concentration) mengikut garispanduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan – Pengurusan Pelupusan Haiwan, sebelum ditanam secara sempurna.

“Sebanyak 929 ekor babi telah dimusnahkan dari ladang pertama di daerah SPS setakat ini, dan pemusnahan akan diteruskan pada hari ini di ladang kedua setelah terdapat banyak kematian babi di ladang terbabit.

“Aktiviti pemusnahan ini dijangka memakan masa lebih kurang seminggu untuk diselesaikan dan proses ini tidak dapat dimulakan dengan lebih awal akibat kekangan kawasan untuk dijadikan tapak pelupusan babi,” ulasnya lanjut.

Kon Yeow berkata, proses pelupusan akan dijalankan di ladang-ladang terbabit sekiranya mempunyai tanah mencukupi manakala bagi ladang yang mempunyai jumlah babi yang banyak, maka Kerajaan Negeri akan menyediakan tapak di luar ladang untuk tujuan itu.

“Ini mungkin akan melibatkan tanah-tanah di kawasan awam seperti jalan raya dan sebagainya, jadi orang ramai dinasihatkan tidak berasa panik apabila melihat petugas-petugas menjalankan aktiviti pelupusan.

“Ini kerana ASF tidak akan merebak kepada manusia dan hanya menjangkiti babi sahaja,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa bagi mengesan jangkitan dan perebakan penyakit ASF di kawasan berhampiran, aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan di semua ladang ternakan babi dalam radius 5 kilometer (km) dari ladang yang terlibat terus aktif dijalankan.

“Pemantauan dan pemeriksaan karkas juga giat dijalankan di semua rumah sembelihan babi berlesen di Pulau Pinang.

“Selain itu, Sekatan Jalan Raya (SJR) juga dijalankan di jalan-jalan masuk ke Kawasan Perkampungan Valdor bermula 10 Januari lalu bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk babi hidup serta karkas dari kawasan jangkitan seterusnya mengawal penularan penyakit ASF ini ke kawasan lain,” tegasnya.

Dalam pada itu, Saira Banu memaklumkan bahawa sebanyak 25,000 ekor babi dari tujuh buah ladang terbabit telah disahkan ASF dan semuanya akan dimusnahkan secara berperingkat.

“Apabila kita memperoleh keputusan positif (ASF), semua babi di ladang tersebut akan dilupuskan kerana walaupun hanya seekor sahaja babi yang dijangkiti tetapi ia akan merebak dan menjangkiti ladang-ladang lain.

“Ini kerana tempoh inkubasi adalah selama satu hingga 15 hari manakala tempoh kematian pula adalan antara dua hingga 10 hari,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : DARWINA MOHD. DAUD