Penyelenggaraan demi suasana selesa penyewa

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

DATUK KERAMAT – Sejumlah RM14 juta dibelanjakan Majlis Bandaraya Pulau P i n a n g ( M B P P ) s e j a k 2 0 0 8 b a g i menyelenggara sembilan skim perumahan atau 1,340 unit rumah milikan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Ini adalah bagi memastikan penyewa-penyewa berkaitan dapat menikmati suasana persekitaran selesa walaupun membayar sewaan serendah RM97 sebulan.

Menurut Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, bagi rumah milikan MBPP di Taman Free School sahaja, MBPP membelanjakan RM2.75 juta sejak 2014 termasuk menaik taraf dan pengecatan semula Blok L, M dan N.

“Selain itu, MBPP turut menambah pintu lif, penggantian pam motor lif, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan menaik taraf tandas di perumahan tersebut.

“(Dan) kali ini saya nak umumkan kerja-kerja pengecatan semula blok-blok L, M dan N bernilai RM535,000 yang telahpun dimulakan pada pertengahan Disember 2017 dan dijangka siap pada pertengahan Jun nanti.

“Suka untuk saya maklumkan, pada tahun ini, kerja-kerja penggantian wayar elektrik akan dijalankan dengan belanja RM900,000 dan dijangka siap tahun ini juga,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Jagdeep dalam lawatan ke Taman Free School turut memaklumkan bahawa selain MBPP, Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan RM30.6 juta bagi menyelenggara 15,490 unit membabitkan 50 skim sejak tahun 2010.